Kecederaan John Cena mencuri tumpuan untuk menjadi tajuk utama dunia gusti akhir-akhir ini.

Menurut laporan dari Gusti Observer John Cena dijangka terlepas daripada beraksi akibat kecederaan koyakan tisu di bahagian bahu yang dialaminya beberapa minggu lalu.

Cena yang kini menjadi superstar siri realiti terbaru FOX, American Grit, dilaporkan akan menjalani pembedahan pada hari ini dan mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan untuk pulih sepenuhnya.

Kecederaan Cena kali ini memberi tamparan besar kepada WWE untuk mewarnai perlawanan WrestleMania akan datang.

WWE sudah kehilangan Daniel Bryan, Samy Zayn, Sting, Randy Orton, Cesaro dan Seth Rollins - juga akibat kecederaan.

Kehilangan Cena daripada WrestleMania bagaikan curahan garam pada luka Vince McMahon serta seluruh badan pengurusan WWE.

Dengan terkeluarnya Cena daripada saingan itu, WWE perlu mencari jalan terbaik untuk mengisi kekosongan berkenaan.

Pada masa sama, spekulasi kemunculan Brock Lesnar dan The Undertaker di Royal Rumble banyak diperkatakan oleh peminat gusti.

Tidak pasti bagaimana WWE akan mengubah jadual perlawanan namun Royal Rumble dan WrestleMania 32 tanpa superstar utama mungkin menjejaskan perancangan masa hadapan badan berkenaan.

Tambahan pula sebanyak 105,000 tiket sudah disediakan untuk dijadual sempena WrestleMania pada 3 April depan di Texas, Amerika Syarikat.