Selepas sekian lama debaran untuk pemenang anugerah pemain bola sepak terbaik dunia berlegar antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, kali ini dominasi itu dipecahkan dengan kehadiran pemain Brazil, Neymar.
Bakal berlangsung di Zurich, Switzerland awal pagi Selasa (waktu Malaysia) ada kemungkinan pemenang anugerah Ballon d’Or nanti bukan lagi Messi atau Ronaldo.
Kali terakhir piala itu disampaikan bukan kepada Ronaldo atau Messi ialah pada 2007 apabila Kaka dinobatkan sebagai pemenang.
Sejak Ronaldo memenangi Ballon d’Or untuk kali pertama pada 2008, pilihan juri untuk mengisi tempat itu memang terhad, sama ada dari aspek calon atau kelab yang mereka wakili iaitu antara Barcelona atau Real Madrid.
Bagi calon pemain bola sepak terbaik dunia 2015, ada pihak berpendapat senarainya perlu diperluaskan lebih daripada sekadar Messi atau Ronaldo.
Penulis Daily Telegraph , Paul Hayward, berkata antara nama yang berpotensi dinilai ialah Sergio Aguero (Argentina/Manchester City), Gareth Bale (Wales/Real Madrid), Karim Benzema (Perancis/Real Madrid), Eden Hazard (Belgium/Chelsea), Zlatan Ibrahimovic (Sweden/Paris St-Gemain), Robert Lewandowski (Poland/Bayern Munich), Alexis Sanchez (Chile/Arsenal) dan Luis Suarez (Uruguay/Barcelona).
Jika prestasi remaja mereka diambil kira, calon terbaik adalah Hazard. Pada keadaan pemilihan ditakdirkan tiada Messi atau Ronaldo, calon paling berpeluang cerah ialah Neymar dan Suarez.
Berhak dapat penghargaan
Kata Kaka, prestasi Neymar akhir-akhir ini meningkat ketara terutama selepas dia berhijrah untuk beraksi di Eropah.
"Permainannya jauh lebih matang dan dia menunggu masa untuk menjadi pemain terbaik dunia," katanya.
Menurut Kaka, selain Ronaldo dan Zinedine Zidane yang memenangi piala Ballon d’Or sebanyak tiga kali, ada ramai pemain yang terpilih mendapat pengiktirafan itu.
"Antaranya, Luis Figo (Portugal), Ronaldinho (Brazil) dan Fabio Cannavaro (Itali).
"Mereka memang berhak jika anda melihat apa yang mereka usahakan - dan capai - pada tahun berkenaan," katanya.
Anugerah Pemain Terbaik Dunia Fifa mula diadakan pada 1991 sebelum piala Ballon d’Or diperkenalkan pada 2010.
Pemenang dipilih berdasarkan prestasi mereka dan diundi oleh jurulatih kebangsaan, kapten pasukan dan wartawan dari seluruh dunia.
Tahun lalu Ronaldo mengetepikan Messi dengan memperoleh undian sebanyak 37.66, meninggalkan pemain kebangsaan Argentina itu dengan 15.76 peratus.
Seorang lagi calon ialah penjaga gol Jerman, Manuel Neuer yang mendapat 15.72 peratus undi.
