Rekod baru 100m belum disahkan
Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) masih belum dapat mengesahkan rekod kebangsaan 100m dicipta Badrul Hisham Abdul Manap walaupun 49 hari telah berlalu.
Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata rekod kebangsaaan 100m selama 17 tahun yang dicipta Watson Nyambek dari Sarawak masih tidak terjejas selagi MAF belum membuat keputusan muktamad tentang isu itu.
Rekod 10.29s yang dicipta Badrul, 18, pada 23 November lepas di Sukan Sekolah-sekolah Asean di Brunei masih belum dapat disahkan kerana penganjur gagal mematuhi peraturan Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), termasuk kesilapan meletak alat mengukur angin.
"MAF telah menulis kepada (Persekutuan Olahraga) Brunei dan mereka menghantar jawapan satu muka yang mengaku kesilapan mereka. Kemudian kami meminta laporan penuh tentang pertandingan itu, tetapi hingga kini belum menerimanya, walaupun sudah beberapa kali dihantar peringatan.
"Kadang-kadang, rekod dunia pun mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk disahkan, jadi kami tidak boleh membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya bagi mengelak ada pihak menyalahkan kami jika ada sesuatu yang tidak kena nanti.
"Kami akan mencari penyelesaian bagi isu ini," kata Karim kepada pemberita selepas mesyuarat tiga jam antara Jawatankuasa Kerja MAF dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Karim berkata berdasarkan catatan masa itu, Badrul, yang berasal dari Melaka, adalah pelari terpantas negara ketika ini, tetapi mengaku bahawa keadaan angin boleh menjadi faktor utama dalam menentukan masa yang dicatat, termasuk bagi acara pecut.
"Bagi saya, Badrul tetap lelaki terpantas di Malaysia, pengukur masa elektronik ada di sana, persoalannya sekarang ialah sama ada dia dibantu oleh angin atau tidak, selain kemungkinan berlaku kesilapan teknikal lain," katanya.
Ditanya sama ada MAF akan mengambil tindakan terhadap Persekutuan Olahraga Brunei, Karim, yang juga Anggota Majlis Individu Persatuan Olahraga Asia (AAA), berkata beliau akan membangkitkan isu itu pada mesyuarat AAA dan IAAF Mac ini kerana MAF tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.
- Bernama

