Messi: Saya rasa sangat luar biasa
Untuk kali kelima, piala Ballon d'Or berada dalam genggaman bintang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi, selepas dia dipilih mengungguli gelaran pemain terbaik dunia 2015, di Zurich Swizerland, awal pagi tadi.
Kali pertama Messi memenangi piala itu ialah pada 2009 hingga 2012.
Messi meraih undian terbanyak dengan 41.33 peratus berbanding dua pesaing lain iaitu Cristiano Ronaldo (Portugal/Real Madrid) dan Neymar (Brazil/Barcelona).
Undian dilakukan kapten dan jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan yang bernaung di bawah Fifa dan wartawan di seluruh dunia.
Sehingga kini, sebanyak 209 negara menganggotai badan induk bola sepak dunia itu, manakala Kuwait dan Indonesia disisihkan daripada mengundi kerana masih dalam penggantungan.
Ronaldo berada di kedudukan kedua dengan 27.76 peratus manakala Neymar yang mendapat undian 7.86 peratus di tempat ketiga.
Sepanjang 2015, Messi berjaya meraih pelbagai kejayaan bersama Barcelona. Antaranya juara La Liga, Copa del Rey, Liga Juara-juara, Piala Super Eropah, dan Piala Dunia Kelab 2015.
"Ini adalah kenangan istimewa buat saya kerana dapat kembali ke pentas ini. Saya memenangi anugerah ini semula selepas hanya berada di kerusi penonton untuk melihat Ronaldo menang pada dua tahun sebelum ini.
"Rasanya sangat luar biasa kerana berjaya meraih gelaran ini untuk kali kelima. Ia diluar jangkaan dengan yang dimpikan ketika saya masih kecil," kata pemain ebrusia 28 tahun itu.
Sementara itu, Ronaldo dilaporkan tidak mahu berputus asa walaupun gagal mempertahankan gelaran yang diraihnya untuk 2014.
Menurut bintang Real Madrid itu, beliau tetap optimis untuk mengukir lebih banyak anugerah sebelum bersara dalam arena bola sepak.
"Saya harap dapat menjaring 500 gol lagi di masa hadapan, walaupun ia sukar. Saya masih muda dan mahu bermain selama bertahun-tahun.
"Mencipta rekod itu, saya perlukan kerja keras. Tapi diluar jangkaan untuk memecah rekod Alfero Di Stefano dan Raul Gonzalez," katanya yang bakal menginjak usia 31 tahun Februari depan.
Sepanjang kariernya, Ronaldo berjaya meraih tiga kali gelaran Pemain Terbaik Dunia iaitu pada 2008, 2013, dan 2014.
Berikut keputusan lengkap majlis awal pagi tadi:
- Pemain Terbaik Dunia 2015: Lionel Messi
- Pemain Wanita Terbaik 2015: Carli Lloyd (AS)
- Jurulatih Terbaik 2015: Luis Enrique (Barcelona)
- Jurulatih Terbaik Wanita Terbaik 2015: Jill Ellis (AS)
- Gol Terbaik: Wendell Lira (Vila Nova/Brazil)
- Fair Play Fifa 2015: Semua pasukan bola sepak yang bersimpati kepada nasib pelarian di seluruh dunia.
- FifPro World XI (Kesebelasan pemain terbaik dunia): Manuel Neuer (Bayern Munich/Jerman), Marcelo (Real Madrid/Brazil), Thiago Silva (Paris Saint-Germain/Brazil), Sergio Ramos (Real Madrid/Sepanyol), Dani Alves (Barcelona/Brazil), Andres Iniesta (Barcelona/Sepanyol), Luka Modric (Real Madrid/Croatia), Paul Pogba (Juventus/Perancis), Cristiano Ronaldo, Neymar dan Lionel Messi.

