'Perang kosmetik' di padang tak salah
Adakah padang bola sepak kini lebih daripada sekadar tempat bersaing kemahiran menguasai permainan dan menjaringkan gol?
'Fenomena Qu Puteh' sudah hampir pasti menjadikan Stadium Sultan Muhammad IV bertukar warna menjadi merah jambu. Isunya ialah - apakah ada stadium lain akan mengalami takdir sama?
Kesanggupan syarikat produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd menaja skuad The Red Warriors (TRW) nampaknya menjadi perhatian syarikat pengeluar barangan kosmetik lain.
Apakah ia senario positif untuk sukan nombor satu dunia itu?
Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan, fenomena tersebut merupakan perkembangan yang baik apabila semakin banyak pihak menunjukkan mereka 'celik mata'.
Kata Sathianathan, industri sukan bola sepak semakin menerima perubahan berbanding era bola sepak 1980 dan 1990-an.
Kini, katanya, bola sepak menjadi kerjaya profesional bagi penggiatnya.
"Justeru, penajaan begitu penting untuk menjana kewangan pasukan dalam pelbagai aspek, khususnya ketika kita mahu menyuntik program pembangunan di peringkat akar umbi.
"Sesebuah pasukan bukan saja perlukan dana untuk bergerak, tetapi perlu memainkan peranan besar untuk mencungkil bakat baru di kalangan remaja," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Namun menurut bekas jurulatih ATM itu, pihak penaja perlu diingatkan supaya tidak mencampuri urusan teknikal seperti aspek pemilihan pemain dan kejurulatihan.
"Penaja boleh meletakkan syarat kepada persatuan atau kelab bola sepak yang mahu ditaja, tetapi ada hadnya. Mereka tidak boleh menggangu kuasa yang diberikan kepada jurulatih misalnya.
"Memang mereka yang menyuntik dana, tetapi perlu lebih berpengaruh dalam aspek pemasaran dan penjenamaan walaupun kadang-kadang tidak dibantah peminat sendiri," jelasnya.
Perlu dana besar untuk bersaing
Vida Beauty Sdn Bhd baru-baru ini menawarkan tajaan bernilai jutaan ringgit untuk TRW menghadapi kancah persaingan liga tempatan.
Kerancakan saingan liga bola sepak sering terganggu dengan rungutan akibat kekangan kewangan sehingga menjejaskan pembayaran gaji pemain.
Selain Vida Beauty Sdn Bhd ada syarikat lain dilaporkan turut berminat menaja pasukan bola sepak tempatan.
Tambah Sathianathan, apa yang penting ialah, kemunculan syarikat swasta menaja pasukan bola sepak walaupun ia adalah pengeluar barangan kosmetik.
"Ia perkembangan sihat dan perlu diseimbangankan ke arah kemajuan sukan itu sendiri," katanya.
Sementara itu, bekas pengendali pasukan kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengakui bola sepak negara memerlukan dana besar untuk mampu kekal bersaing sebelum muncul sebagai pasukan digeruni.
Menurut beliau, minat ditunjukkan syarikat swasta untuk menjadi penaja pasukan bola sepak perlu dialu-alukan.
"Penajaan adalah salah satu sumber kewangan kepada pasukan untuk menjadi pasukan yang hebat, lebih-lebih lagi selepas liga bola sepak kita telah diswastakan.
"Setiap pasukan memerlukan modal besar. Kesudian pihak swasta untuk menaja sesebuah pasukan memberi faedah kepada kedua-dua pihak.
"Penaja mendapat publisiti untuk meningkatkan pasaran, manakala pasukan bola sepak mendapat manfaat dana kewangan," jelasnya.
Mengulas mengenai syarat yang dikenakan penaja, kata Kim Swee, perkara itu perlu dibincangkan dengan cermat oleh pihak pengurusan.
"Ini kerana bola sepak turut melibatkan peraturan tersendiri yang melibatkan badan induk seperti FAM dan Fifa," katanya.

