Impian Dollah Singa Utara melonjak lebih tinggi
Pastinya tidak mudah, namun itulah cabaran yang digalas bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh selepas dia memilih untuk membimbing pasukan Perlis.
Bagaimanapun, dengan pengalaman yang ada Dollah percaya dia dapat memberi sentuhan sewajarnya untuk membawa perubahan kepada Singa Utara mengharungi Liga Perdana musim ini.
Mengakui cabaran itu berat, Dollah berkata fokus skuad bimbingannya kini adalah untuk mengembalikan zaman kegemilangan yang pernah dikecapi sebelum ini.
"Memang tugas berat bagi saya untuk mengendali pasukan Perlis kerana harapan penyokong begitu tinggi.
"Tetapi saya percaya, saya sendiri mahu lakukan sesuatu untuk pasukan ini," katanya kepada
Malaysiakini
.
Musim 2016 menyaksikan Perlis bersaing di Liga Perdana selepas muncul juara kumpulan A Liga FAM 2015 di bawah bimbingan Yusri Che Lah.
Jika prestasi Perlis menjadi, mereka berpeluang menapak selangkah lebih tinggi untuk menyertai cabaran Liga Super.
Mengulas persediaan terkini, Dollah berkata, pasukannya sudah melengkapkan senarai pemain walaupun mengakui ia sedikit lewat.
"Saya akan cuba lakukan perubahan selepas selama ini Perlis duduk liga bawahan.
"Yusri (jurulatih terdahulu) berjaya membawa pasukan ke Liga Perdana. Jadi saya ingin sambung kejayaan ini supaya Perlis yang disegani suatu masa dulu dapat lebih dihormati
"Insya-Allah itu matlamat saya (naikkan Perlis) dan harap-harap ia menjadi kenyataan," jelasnya.
Nampak bersungguh-sungguh
Pada musim ini, Perlis diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain kebangsaan, Mohd Afif Amiruddin dan empat pemain import dari Afrika - Gregory Junior Nwokolo, Obinna Nwaneri, Mohamadou Sumareh dan Edward Junior Wilson.
Selain itu, tiga bekas pemain PDRM iaitu Alafi Mahmud, V Thirumuragan, Fauzi Majid dan Saiful Amar Sudar turut menyertai skuad Dollah.
Sebelum mengendalikan skuad Harimau Malaya, Dollah berjaya membawa beberapa pasukan ke tahap lebih baik seperti Pahang dan PDRM.
Ditanya isu kewangan yang melanda skuad Indera Kayangan sebelum ini, Dollah berkata, perkara itu dilihat tidak akan berulang.
"Saya tak nampak hal itu (masalah kewangan) dan saya percaya Perlis tahun ini lebih bersedia dan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman memberi harapan tinggi kepada saya.
"Beliau nampak bersungguh-sungguh.
"Dari segi kewangan pula saya rasa ia tidak akan menjadi masalah pada tahun ini," katanya.

