Bintang bola sepak Jerman dan Arsenal, Mesut Ozil melahirkan rasa simpati terhadap insiden pengeboman di Istanbul semalam.

Susulan kejadian tersebut, pemain kreatif The Gunners itu sempat mengungkapkan sepotong doa demi kesejahteraan mangsa.

"Semoga mereka yang kehilangan nyawa dirahmati Allah.

"Saya berharap mangsa yang cedera segera pulih," katanya disusuli hashtag #prayforistanbu l di akaun Twitternya, semalam.

Sultanahmet'te yaşamını kaybedenlere Allah'tan rahmet yaralılara acil şifalar diliyorum. 🙏 #prayforistanbul pic.twitter.com/FrEWJg6Tqx

— Mesut Özil (@MesutOzil1088) January 12, 2016

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 10 terbunuh manakala 15 lagi cedera selepas satu letupan menggegarkan tengah Istanbul.

Reuters yang memetik laporan televisyen Turki, Haberturk, menyatakan serangan itu mungkin dilakukan oleh pengebom bunuh diri.

Agensi berita DHA pula melaporkan polis mengepung kawasan daerah Sultanahmet yang menjadi lokasi letupan itu berlaku.

Daerah kesultanan bersejarah Sultanahmet adalah lokasi muzium Hagia Sophia dan Masjid Biru yang ikonik di Istanbul.

Daerah itu adalah kawasan tarikan pelancong yang paling popular di Turki.

Derma untuk Brazil

Namun, ada laporan yang menyebut bahawa kejadian mungkin ada kaitan dengan serangan militan Kumpulan Negara Islam (IS).

Walaupun bermain untuk Jerman, Ozil mempunyai darah Turki dengan datuk neneknya berasal dari Devrek, Zonguldak di barat laut negara itu.

Di luar padang Ozil dilaporkan seorang Muslim yang baik dan sering membaca ayat al-Quran serta berdoa sebelum bermain bola sepak.

Disebabkan itu, biasanya rakan sepasukan tidak akan mengganggu Ozil atau mengajaknya berkata-kata sebelum perlawanan dimulakan.

Pada 2014 Ozil mendermakan wang bernilai £240,000 (RM1.52 juta) untuk Projek BigShoe yang membiayai 23 kanak-kanak miskin Brazil menjalani pembedahan.

Wang itu, kata Ozil, adalah sebagai penghargaan daripadanya terhadap rakyat Brazil yang baik kepada mereka ketika pusingan akhir Piala Dunia 2014 berlangsung.

Dalam kejohanan itu Jerman muncul sebagai juara.