Pemain perseorangan elit negara, Liew Daren mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan menyatakan kegagalan meningkatkan pencapaian sejak dua tahun lepas sebagai sebab utama beliau berbuat demikian.

Beliau berkata pemain muda dan berpotensi dalam persatuan kebangsaan itu harus diberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan prestasi, sekali gus berebut slot sama ada dalam skuad pelapis atau pasukan elit.

Daren berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada BAM minggu lepas dan persatuan menerima surat tersebut.

"Saya telahpun meninggalkan BAM tetapi mengambil keputusan untuk menyerahkan surat peletakan jawatan minggu lepas dan selepas kejohanan Grand Prix Emas Masters Malaysia di Pulau Pinang pada pertengahan bulan ini, saya akan beraksi sebagai pemain profesional," katanya kepada pemberita pada Kejohanan Badminton Cabaran Juara Resorts World Genting di Arena of Stars, di Genting Highlands semalam.

"Memang sukar untuk menyatakan berapa lama saya akan beraksi sebagai pemain profesional selepas ini tetapi yang pasti, selagi saya cergas, saya akan turun sebagai pemain profesional," kata pemain Kelab Badminton Puchong United (Puchong BC) itu.

Daren bagaimanapun mengaku bahawa beraksi sebagai pemain profesional bukan tugas mudah kerana beliau perlu mencari penajaan sendiri untuk membolehkannya bertanding di pentas antarabangsa bagi memastikan beliau sentiasa cergas sepanjang musim.

Sementara itu, Daren sedang bersaing untuk melakar pencapaian positif pada kejohanan antarabangsa di Pulau Pinang selepas berehat dua bulan akibat kecederaan pada lututnya.

"Saya tidak meletakkan harapan yang telalu tinggi pada kejohanan itu kerana saya akan berdepan (pemain veteran Thailand), Boonsak Ponsana pada pusingan pembukaan tetapi saya akan melakukan yang terbaik," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu yang mencatatkan ranking ke-10 dunia pada 2013.

Antara pencapaian terbaik Daren semasa di bawah naungan BAM sejak 12 tahun lalu adalah meraih gelaran Terbuka Satelit Taiwan 2005, Terbuka Singapura 2012, Siri Super Terbuka Perancis 2015 tahun lepas selain membantu skuad kebangsaan merangkul pingat emas dalam acara beregu berpasukan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Sebelum ini, Daren menerima kritikan hebat daripada peminat tempatan kerana pencapaiannya yang tidak konsisten, pada kejohanan tempatan dan antarabangsa selain dilanda kecederaan yang menjejaskan prestasinya.

- Bernama