Dua gergasi La Liga digantung daftar pemain
Gara-gara melanggar peraturan berhubung pemindahan dan pendaftaran pemain berusia bawah 18 tahun, dua gergasi La Liga menerima padah.
Jawatankuasa Disiplin Fifa menjatuhkan hukuman ke atas Real Madrid dan Atletico Madrid daripada membuat sebarang pendaftaran pemain dalam pasukan mereka bagi tempoh dua kali musim perpindahan dibuka.
Penggantungan itu sekali gus melibatkan musim perpindahan sehingga tahun 2017.
Fifa dalam kenyataannya berkata, kedua-dua kelab digantung daripada mendaftar mana-mana pemain kebangsaan dan antarabangsa untuk dua kali tempoh pendaftaran dibuka kerana melanggar Peraturan Status dan Pemindahan Pemain-Pemain.
“Tetapi, penggantungan tidak melibatkan proses pemindahan pemain yang berlangsung sekarang," kata kenyataan tersebut.
Bagaimanapun Fifa tidak mendedahkan nama-nama pemain bawah 18 tahun yang terlibat dengan kedua-dua kelab tersebut.
Sementara itu, Real dilaporkan pihaknya akan membuat rayuan terhadap hukuman gantung ini yang dianggap tidak munasabah.
Selain itu, Real dan Atletico turut dikenakan denda masing-masing berjumlah £622,000 (RM3.9juta) dan £249,000 (RM1.5 juta).
Hukuman tersebut dikenakan selepas siasatan mengenai pemain yang terlibat dalam perlawanan bersama kelab itu sekitar tahun 2007 dan 2014 (Atletico) manakala 2005 dan 2014 di Real.

