Skuad bola sepak Perak akan dibarisi empat pemain import dengan tiga adalah muka baru bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2016, yang dijadual membuka tirai pada 13 Februari ini.
Pemain tengah Uzbekistan Oybek Kilichev, 27, menjadi pemain import terbaru menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) untuk menyarung jersi The Bos Gaurus.
Presiden Pafa Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata kehadiran Kilichev yang lulus ujian kecergasan dan kesihatan, melengkapkan kuota empat pemain import pasukan berkenaan, musim ini.
Dua pemain import baru yang menandatangani kontrak dengan Pafa ialah Vokhid Shodiev, 29, dari Uzbekistan dan Elias Fernandes de Oliveira, 24, dari Brazil, manakala pemain import yang dikekalkan adalah Thiago Junio Aquino, 31, juga dari Brazil.
"Oliveira belum menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa, tetapi beliau dijangka terimanya dalam masa terdekat," katanya pada sidang media, di Ipoh semalam.
Mengenai persiapan Perak menghadapi saingan musim ini, Abdul Puhat berkata skuad The Bos Gaurus telah mengharungi empat perlawanan persahabatan menentang Pilihan Manjung, Felcra FC, DRB Hicom dan PKNS FC.
Beliau berkata Perak menyasarkan untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini, dalam kelompok lima teratas berbanding tangga kelapan pada musim 2015.
"Keyakinan saya terhadap pemain sangat tinggi kerana kebanyakan mereka telah bermain bersama sejak 2012, sama ada pada Sukan Malaysia atau Piala Presiden," katanya.
Sementara itu, jurulatih Perak Syamsul Saad berkata walaupun dibarisi ramai pemain muda, ia bukan penghalang Perak untuk melakar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
"Saya yakin kepada kesemua pemain. Saya rasa amat bersyukur dengan pihak pengurusan yang memberi saya peluang secukupnya melaksanakan perancangan untuk pasukan," katanya.
- Bernama
