"Pergi kedai beli emaslah," kata Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim dengan nada bergurau ketika diminta mengulas sasaran skuad bola sepak Projek Sukan Sea 2017.

Teong Kim berkata, tempoh setahun diberi kepada jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Frank Bernhardt mencukupi sebagai persediaan sekiranya pemain bekerja dengan betul bersama jurulatih pasukan negeri atau kelab masing-masing.

Menurut beliau, berjaya atau tidak sasaran negara meraih pingat emas dalam temasya Sukan Sea bergantung kepada cara jurulatih di negeri bekerjasama dengan pemain.

Katanya, sasaran itu tidak akan dicapai jika usaha hanya bergantung semata-mata kepada Berhardt.

"Sekiranya mereka (jurulatih negeri) bekerja sambil lewa, tempoh satu tahun untuk Bernhardt itu tidak dapat membuat apa-apa perubahan.

"Ini kerana untuk satu pasukan yang mantap memerlukan pemain yang mempunyai kekuatan pelbagai aspek. Paling penting etika kerja dan nilainya, kalau itu tiada, tak perlu cakap mengenai aspek taktikal.

"Tetapi kalau mereka datang dengan tahap kecergasan kosong, susahlah," jelasnya.

Ini persoalan pelik

Terdahulu, Bernhardt yang dilantik mengendalikan skuad B-23 sejak Disember lalu dilaporkan mengulas mengenai barisan pemain yang masih lemah dalam aspek kecergasan dan stamina.

Mengulas lanjut perkara itu Teong Kim berkata, aspek kecergasan adalah paling asas dalam sukan bola sepak dan tidak lagi menjadi topik penting di kalangan penggiat khususnya Eropah.

"Latihan yang pemain kita terima di sini, sama dengan kekerapan latihan pemain di Eropah. Tetapi, mengapa kecergasan masih kurang? Benhardt datang ke sini mengatakan kecergasan masih lemah, saya pun tidak faham.

"Ini pelik bagi saya, mengapa jurulatih (negeri) tidak boleh melatih pemain-pemain supaya tahap kecergasan mereka sama taraf di peringkat antarabangsa?

"Di Eropah, tiada sesiapa yang bercakap tentang kecergasan. Orang cakap tentang kekuatan mental, mengenai psikologi atau macam mana menerima dan menyelesaikan masalah psikologi. Tapi kita sini masih soal kecergasan," katanya.

Sehubungan itu, Teong Kim berkata, pembangunan bola sepak negara bukan semata-mata melibatkan pasukan dan jurulatih kebangsaan, sebaliknya juga barisan jurulatih di Liga Malaysia.

"Kedudukan kita di tangga yang rendah (dalam ranking dunia) bukan kerana jurulatih kebangsaan. Orang yang bekerja di liga seharusnya mengambil tanggungjawab. Mengapa tahap kecergasan pemain tidak bagus ketika mereka lapor diri di skuad B-23?

"Ini soalan saya, di negara lain pun mereka tak pernah kata setahun sebelum Piala Dunia, mereka berkumpul. Tiada.

"Mereka ada satu atau dua minggu sebelum perlawanan, mereka tak berlatih untuk mencapai tahap kecergasan terbaik," katanya.

Sementara itu beliau turut mempersoalkan mengapa isu kecergasan pemain tidak ditimbulkan oleh jurulatih tempatan sebelum ini.

"Di sini mereka dipanggil dua minggu sebelum perlawanan berlatih apa? Kecergasan.

"Mengapa mesti berlatih kecergasan? Mengapa jurulatih yang melatih skuad kebangsaan tak mengatakan pemain mereka tidak cergas?

"Mengapa jurulatih semua senyap dan tunggu Bernhartd datang (untuk) beritahu pemain di sini tak cergas?

"Mana integriti sebagai jurulatih? Bagi saya mereka tak peduli, senang saja," ujarnya.