Skuad muda negara yang akan dihantar menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Hyderabad, India, bulan depan perlu membuktikan ketepatan pemilihan mereka dengan mempamerkan prestasi cemerlang pada kejohanan itu.
Ketika memuji langkah berani Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar skuad berkenaan ke Hyderabad, bekas pemain antarabangsa, Foo Kok Keong, menasihati skuad itu memanfaatkan sepenuhnya setiap peluang yang diberi kepada mereka untuk mewakili negara ke kejohanan tersebut, yang merupakan pusingan kelayakan untuk menempah tiket ke Pusingan Akhir Piala Thomas di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei.
Foo, seorang daripada anggota pasukan negara yang memenangi Piala Thomas pada 1992 di Stadium Negara, berkata skuad muda Malaysia yang akan ke kejohanan di India itu juga perlu meningkatkan kekuatan mental dan fizikal kerana kebanyakan lawan mereka di BATC nanti merupakan pemain berpengalaman.
"Saya harap, dalam tempoh singkat sebelum bermulanya kejohanan itu, mereka akan berlatih dengan tekun serta tidak mudah berputus asa. Mereka perlu tahu bahawa tugas mereka ialah untuk membantu Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas dan harapan saya, mereka akan berjaya di India.
"Saya juga berharap agar beberapa kejohanan (seperti Malaysia Masters GP Gold di Pulau Pinang dari 19 hingga 24 Januari) akan dapat membina keyakinan pemain bagi menghadapi kejohanan penting itu," katanya.
Ukur kemampuan skuad Piala Thomas
Foo berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kejohanan Badminton Cabaran Juara-juara Resorts World Genting di Arena of Stars di Genting Highlands hari ini.
Sementara itu, bekas pemain beregu kebangsaan, Yap Kim Hock berpendapat peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas agak tipis, berbanding beberapa negara lain seperti Indonesia dan Korea Selatan, yang terkenal kerana memiliki kekuatan tersendiri dalam kategori itu.
Yap, pemenang pingat perak bagi acara beregu lelaki bersama Cheah Soo Kit pada Sukan Olimpik 1996 di Amerika Syarikat, bagaimanapun memuji keberanian BAM menghantar pemain beregu muda untuk menyertai BATC.
"Besar kemungkinan kita tidak akan melayakkan diri (ke pusingan akhir Piala Thomas) kali ini, tetapi saya berpendapat pasangan beregu muda ini akan menjadi kuat pada masa akan datang kerana mereka telah diberi pendedahan di arena antarabangsa," kata pengurus pasukan Klang United Badminton Club itu.
Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dipetik pada Jumaat sebagai berkata bahawa BAM membuat keputusan menghantar skuad muda ke kejohanan di India itu bagi mengukur kemampuan mereka dalam skuad Piala Thomas negara melalui pendedahan awal yang diberi kepada mereka untuk menyertai kejohanan besar.
Juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli, 22, akan mengetuai cabaran Malaysia bagi acara perseorangan lelaki, yang turut diwakili Zulkarnain Zainuddin, 24; Soong Joo Ven, 19; dan Soo Teck Zhi, 20.
BAM juga membariskan Tan Kian Meng, Ong Yew Sin, Low Juan Shen, Teo Ee Yi, Tan Wee Gieen, di samping Tan Chee Tean, dan mengetepikan pasangan beregu utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong.
Malaysia perlu menamatkan kempennnya pada BATC dengan duduki antara enam pasukan teratas untuk melayakkannya melangkah ke pusingan akhir Piala Thomas.
- Bernama
