Skuad 'invinsible' Arsenal: Di mana mereka kini?
Masih ingat 'skuad halimunan' yang mencipta sejarah keajaiban di EPL pada musim 2003/04 lalu?
Ketika itu, Arsenal melalui saingan liga perdana - bermula 1 Julai 2003 - tanpa mencatatkan sekali pun kekalahan sehingga musim berakhir pada 30 Jun tahun berikutnya.
Daripada 38 perlawanan yang diharungi, Arsenal mencatatkan 26 kemenangan dan 12 seri.
Selepas 11 tahun, di manakah pemain yang pernah menganggotai skuad halimunan itu sekarang?
Berikut adalah maklumat mengenai mereka:
Jens Lehmann (46): Menyertai kelab Stuttgart pada 2008 sebelum kembali seketika kepada Arsenal pada 2011. Kemudian bersara sebelum mencuba nasib dalam bidang lakonan - dan gagal.
Ashley Cole (35): Berpindah ke Chelsea (pada 2006) bersama kebencian penyokong setia The Gunners. Selepas berjaya bersama The Blues Cole mencuba nasib di kelab Itali, AS Roma. Tanpa prestasi yang diharapkan dia enggan menamatkan kontraknya bersama kelab itu.
Patrick Vieira (39):
Menjadi ketua pasukan skuad Arsenal yang kemudian menyertai Juventus, Inter Milan dan Manchester City. Diberi kepercayaan menjadi jurulatih skuad kedua City selama beberapa tahun dan kini mencuba nasib sebagai pengurus New York City.
Martin Keown (49): Mencuba nasib di Leicester dan Reading selepas Arsenal. Walaupun menjadi pengurus untuk kelab bawahan, Keown lebih dikenali sebagai pengulas sukan untuk BBC.
Robert Pires (42): Pada 2006 menyertai Villarreal sebelum 'singgah' seketika di Aston Villa. Tahun lalu dia membuat kemunculan di Liga Super India bersama Goa FC. Sesekali kelibatnya dilihat menyertai latihan bersama pemain Arsenal kini.
Freddie Ljungberg (38): Bermain untuk banyak kelab termasuk West Ham United, Chicago Fire, Celtic, Shimuzu S-Pulse dan Mumbai City. Hubungan Ljungberg dengan Arsenal tidak putus kerana kelab itu melantiknya sebagai duta, dan kini berkahwin dengan Natalie Foster - yang menyokong kelab Tottenham Hotspur.
Jose Antonio Reyes (32): Tidak pernah menyerlah bersama Arsenal. Kini masih bermain untuk Sevilla dan memenangi Piala Europa bersama kelab La Liga itu. Reyes turut pernah mengikat kontrak bersama Real Madrid, Benfica dan Atletico Madrid.
Dennis Bergkamp (46): Penyerang legenda ini bersara pada 2006 dan mula menjadi jurulatih skuad muda Ajax dua tahun kemudian. Dia kemudian menjadi penolong pengurus kelab senior membantu Frank de Boer. Gandingan itu berjaya memenangi empat kejuaraan liga Belanda.
Sylvain Wiltord (41): Meninggalkan Arsenal selepas musim 2003/04. Bermain untuk lima kelab berbeza di Perancis, termasuk Marseille dan Lyon. Tahun ini dia menyertai siri realiti televisyen dan tiga daripada pesertanya maut dalam kemalangan helikopter.
Lauren (38): Pemain Cameroon ini menyertai kelab Portsmouth (2006) sebelum Cordoba (Sepanyol) dan bersara pada 2010. Menetap di Sepanyol dan sesekali diundang sebagai pengulas sukan untuk rangkaian SkySports.
Thierry Henry (38):
Mencipta kejayaan manis bersama Barcelona selepas meninggalkan Arsenal pada 2007. Henry kemudian berhijrah ke AS untuk bermain bersama kelab New York Red Bulls dan menamatkan kerjayanya sebagai pemain di situ tahun lalu. Selain sibuk menjadi pengulas sukan Henry adalah jurulatih untuk pasukan remaja Arsenal.
Ray Parlour (42): Bermain bersama Middlesbrough, kemudian dengan Hull sebelum bersara pada 2007. Kini 'laris' sebagai pengulas sukan untuk pelbagai stesen radio.
Eduardo Gaspar @ Edu (37): Menyertai Valencia (2006) sebelum pulang ke negara asalnya, Brazil, untuk bersama kelab pertamanya, Corinthians. Kini bertugas sebagai pengarah bola sepak di situ.
Pascal Cygan (41): Selama tiga tahun dia bermain untuk kelab Villarreal dan dua tahun untuk Cartagena di liga bawahan Sepanyol. Dia sudah menamatkan kursus kejurulatihan dan bersedia untuk tugas barunya tidak lama lagi.
Gilberto Silva (39): Baru bulan lalu mengumumkan persaraannya walaupun tidak pernah beraksi sejak meninggalkan kelab Atletico Mineiro. Kini disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengarah sukan kelab berkenaan.
Gael Clichy (30): Menjadi pemain utama Arsenal selepas era halimunan, namun kini beraksi untuk Manchester City sejak 2011. Dia salah seorang kesebelasan utama di kelab berkenaan.
Sol Campbell (41): Memenangi Piala FA bersama Portsmouth pada 2008. Kemudian beralih angin untuk menyertai Notts County dan Newcastle namun gagal menyinar. Kini fokusnya adalah politik walaupun gagal dalam cubaannya menjadi Datuk Bandar London.
Nwankwo Kanu (39):
Berbakti kepada West Brom sebelum menghabiskan enam tahun bersama Portsmouth. Bersara pada 2012 dan baru-baru Mahkamah Tinggi Nigeria mengarahkan akaunnya dibekukan selepas gagal membayar hutang bernilai RM199.9 juta.
Kolo Toure (34): Meninggalkan Emirates pada 2009 dan bersama Citizens selama empat tahun. Memenangi Piala Afrika bersama pasukan kebangsaannya Ivory Coast tahun lalu dan kini menyertai Liverpool.
Jeremie Aliadiere (32): Bermain untuk Celtic, West Ham dan Wolves sebelum menjadi sebahagian daripada skuad Middlesbrough pada 2007. Pada 2011 berpindah pula ke kelab Lorient dan kini bermain di Qatar bersama Umm Salal.
David Bentley (31): Menikmati kejayaan bersama Blackburn Rovers selepas keluar dari Arsenal pada 2006. Seketika dia bermain untuk Tottenham Hotspur namun prestasinya gagal menarik minat pengurus. Justeru dia dipinjamkan ke Birmingham, West Ham dan FC Rostov (Russia). Dia bersara pada 2014 ketika baru berusia 29 tahun.
Justin Hoyte (31): Pemain antarabangsa Trinidan & Tobago ini sedang berkhidmat untuk kelab divisyen dua, Dagenham & Redbridge. Sebelumnya Hoyte bermain untuk Millwall dan Middlesbrough. Dia hanya bermain sekali untuk Arsenal pada musim 2003/04 itu.

