Hanya beberapa jam selepas memuat naik rencana kononnya kelab bola sepak JDT mungkin disaman syarikat gergasi dunia, Nike, portal MYKMU.NET menarik balik bahan itu petang ini.

Mereka juga memohon ampun dan maaf kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, MYKMU.NET berkata artikel itu "hanya bertujuan menyatakan kemungkinan berlaku konflik perundangan hak cipta berikutan ada elemen tertentu menyamai klip video lama Nike".

Bagaimanapun, kata portal itu, mereka difahamkan artikel tersebut "disalah tafsir" sebagai menuduh JDT menciplak klip video Nike dan menimbulkan tanggapan pasukan berkenaan serta Tunku Ismail disaman Nike.

"Dengan ini kami menarik balik artikel tersebut bagi mengelakkan kontroversi ini terus merebak," katanya.

Terdahulu MYKMU.NET memuat naik artikel JDT Bakal Disaman Nike? dengan melaporkan, kelab itu "berkemungkinan besar bakal berhadapan saman" oleh syarikat gergasi dunia Nike.

Isu itu dibangkitkan susulan penerbitan sebuah klip video mempromosikan jersi terbaru JDT membabitkan pemain kelab berkenaan, jurulatih mereka Mario Gomez, selain Tunku Ismail sendiri.

Bagaimanapun ia didakwa hampir menyerupai klip video mengenai skuad kebangsaan Brazil yang dihasilkan pada 1998.

Sultan akan beli jersi

Kata MYKMU.NET "konflik mungkin menjadi lebih serius" disebabkan penggunaan logo Adidas dalam klip video berkenaan.

Adidas, kata MYKMU.NET, merupakan musuh utama Nike dalam perniagaan pakaian sukan.

"Sekiranya pihak Nike Asia melaporkan kepada ibu pejabat mereka, kita mungkin menyaksikan satu pertarungan mahkamah yang maha besar di negara ini dalam beberapa bulan mendatang," katanya.

TAHNIAH JDT.Saya amat gembira dengan majlis pelancaran jersi yang telah berlangsung pada 16hb Januari 2016. Gimik...

Posted by JOHOR Southern Tigers on Sunday, January 17, 2016

Sementara itu Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar turut menyatakan rasa gembira baginda dengan pelancaran jersi JDT pada 16 Januari lalu.

"Gimik video pelancaran dilihat begitu menarik kerana menampilkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dalam video pelancaran dan saya berharap agar pada tahun-tahun akan datang, JDT boleh menampilkan tempat tempat yang menarik sekitar negeri Johor.

"Ini secara tak langsung akan menaikkan lagi negeri Johor Darul Ta'zim di mata dunia dan lebih ramai lagi akan mengenali negeri ini.

"Syabas saya ucapkan kepada JDT dan seluruh penyokong Harimau Selatan. Saya sendiri akan membeli jersi JDT yang baru," titah baginda seperti dimuat naik di akaun Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

JERSI KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM 2016-----2016 JOHOR DARUL TA'ZIM FOOTBALL CLUB JERSEYHidup Johor Demi Johor#BerjuangBersamaKami

Posted by JOHOR Southern Tigers on Saturday, January 16, 2016