Selepas beberapa bulan tertanya-tanya akhirnya FAM hari ini mengumumkan skuad bola sepak kebangsaan akan diletakkan di bawah tanggungjawab Datuk Ong Kim Swee.

Pada sidang media di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Datuk Mokhtar Ahmad berkata, Kim Swee ditawarkan kontrak selama dua tahun.

Sebelum ini jawatan jurulatih kebangsaan kosong apabila Dollah Salleh meletak jawatan ekoran prestasi sangat hambar skuad Harimau Malaya.

Untuk sementara FAM melantik Kim Swee yang juga jurulatih skuad remaja negara untuk mengendalikan pasukan senior.

FAM kemudian membuka tawaran kepada mana-mana jurulatih yang berminat mengisi jawatan berkenaan.

Ekoran keputusan itu beberapa nama menunjukkan minat dan menghantar permohonan termasuk daripada warga asing.

Antara nama yang disebut-sebut berada dalam senarai penilaian FAM ialah Bojan Hodak (dari Croatia) dan bekas jurulatih Sarawak serta Kedah, Robert Alberts (Belanda).

Pengumuman hari ini dilihat 'mengejutkan' kerana sesetengah pemerhati menjangkakan FAM akan memilih jurulatih warga asing untuk membimbing pasukan kebangsaan.

Difahamkan Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM hari ini mengadakan sesi temuduga peringkat akhir bersama calon yang disenarai pendek.