Cemburu dan iri hati - itu punca mengapa pasukan JDT terus dipersoalkan serta dikritik pihak luar, kata Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu menjadikan gimik pengenalan jersi baru pasukan itu sebagai suatu isu semalam.

Kata Tunku Ismail, rasa cemburu dan iri hati kepada Johor bermula sejak zaman kemerdekaan pada 1957.

"Johor sentiasa menjadi moden dan unik berbanding dengan negeri lain di Tanah Melayu. Ini adalah hakikatnya sejak dulu dan orang akan sentiasa cemburu dengan Johor.

"Tetapi apabila negara dalam kekacauan, anda mula mengusulkan kepada Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor untuk (bersuara) kepada para pemimpin anda.

"Anda lupa apa yang anda telah lakukan adalah membuat Bangsa Johor, termasuk diri saya seolah-olah kami ini orang luar," katanya seperti dipertik akaun Facebook Johor Southern Tigers.

Semalam portal pro-Umno menyiarkan laporan mengenai kemungkinan JDT disaman syarikat pengeluar barang sukan dunia, Nike, kononnya kerana klip videp mereka ditiru.

Idea dari Sepanyol

Bagaimanapun, MYKMU.NET kemudian menarik balik artikel itu dan memohon ampun dan maaf kepada Tunku Ismail serta JDT.

Tunku Ismail berkata, mentaliti masyarakat Malaysia biasanya lebih berminat untuk mencari kesalahan orang lain dan bukan memberi penghargaan kepada perubahan yang dibawa.

Beliau mengakui ada beberapa perubahan dibawa, ditiru dari negara luar seperti penggunaan kerusi untuk pemain yang lebih selesa.

"Jika anda melihat perkembangan JDT tentang idea yang telah diikuti, terdapat beberapa lagi termasuklah (penggunaan) seat bucket untuk bench player yang saya ikut dari Sepanyol," katanya.

JERSI KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM 2016-----2016 JOHOR DARUL TA'ZIM FOOTBALL CLUB JERSEYHidup Johor Demi Johor#BerjuangBersamaKami

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, January 18, 2016

Kata Tunku Ismail, beliau suka kepada idea meletakkan seat bucket yang biasanya digunakan dalam kereta untuk dipasang dalam stadium seperti di Sepanyol.

Tidak hanya itu, Tunku Ismail berkata beliau turut menyusun atur bilik persalinan pemain sama seperti di kelab bola sepak Sepanyol.

"Jika anda melihat program pembangunan belia JDT, saya juga mengikuti kepakaran dari Jerman.

"Lihat juga bas kami. Kami mengikuti reka bentuk AC Milan dan Juventus dengan meletakkan logo besar di belakang bas pasukan," katanya.

Menurut Tunku Ismail, apa yang beliau lakukan adalah untuk kebaikan bola sepak tempatan.

"Saya akui bahawa saya telah banyak belajar dari semua negara-negara yang jauh di hadapan kita.

"Malangnya, apabila saya melihat orang yang tidak senang dengan JDT, semua yang saya lakukan dipersoalkan, dikritik dan seolah-olah ianya satu isu yang sangat besar.

"Bagaimana anda langsung tidak bersuara apabila Terengganu meniru bilik persalinan kami? Anda tidak pula jadikan isu apabila pasukan mula meletakkan logo besar di belakang bas mereka.

"Pasukan lain juga meletakkan seat bucket di bangku pemain mereka seperti mana kami lakukan semenjak 2013.

"Saya juga mula menggunakan papan LED dan kini beberapa pasukan juga mula meniru.

"Kami menjadi peneraju dalam tanahair, mengambil pelbagai idea dari banyak negara dan idea kami pula ditiru oleh banyak pasukan lain di sini," katanya.

Mahu tampil kelainan

Mengenai klip video jersi JDT itu, Tunku Ismail menjelaskan beliau mahu pelancarannya menggunakan konsep video.

Idea asal, katanya, adalah untuk membuat penggambaran di sebuah pulau di Johor dengan menampilkan bot JDT.

Malangnya, kata Tunku Ismail, bot itu sedang menjalani proses penyelenggaraan dan tidak dapat digunakan.

"Pasukan produksi kemudiannya mencadangkan agar menukar ke lokasi yang lain iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dan saya bersetuju.

"Saya mahukan pelancaran jersi kami berbeza daripada yang pernah dilakukan sebelum ini dengan menggunakan pemain naik ke pentas di hotel atau pusat membeli-belah," katanya.

Menjelaskan 'persamaan' yang ditampilkan klip video JDT dengan skuad Brazil pada 1998, Tunku Ismail berkata, sepanjang pengetahuannya harta intelek adalah seperti lirik, logo, rekagrafik dan muzik.

"Belum pernah saya dengar visual atau idea dihadkan oleh hak cipta," katanya.