TMJ: Allah berkati kami, kebenaran sebelahi kami
Mereka lebih berusaha untuk mencari rezeki demi keluarga mereka, sedangkan kaum saya berusaha untuk membunuh sesama sendiri.
Ini adalah kelemahan orang Melayu sejak dahulu lagi. Jika anda mahu negara ini maju ke hadapan dan mahu keadaan bola sepak untuk terus membangun, sila tukar mentaliti dan minda anda.
Penasihat Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta peminat pasukan JDT tidak melayan kerenah pihak yang tidak senang dengan mereka.
Sambil melontarkan soalan, beliau yang juga Tengku Mahkota Johor berkata, pihak yang selalu 'memusuhi' JDT "mempunyai mentaliti rendah".
"Sejak transformasi JDT pada 2013, anda dan saya telah dikutuk, dikritik dan diperkecilkan, tetapi di mana kelab kita sekarang ini berbanding dengan kelab-kelab lain?" katanya di Facebook melalui akaun Johor Southern Tigers.
TEMURAMAH EKSKLUSIF BERSAMA DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR DI THAILANDS: Ampun Tunku, saya menjunjung kasih kerana...
Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, January 18, 2016
Melihat kejayaan dicatat JDT, Tunku Ismail berkata, tiada sebab untuk penyokong pasukan berkenaan - sama ada yang di dalam negara atau luar - melayan pihak yang tidak menyenangi mereka.
"Biarkan mereka terus menyalak bukit (kerana) bukit tidak akan runtuh.
"Kami telah meletakkan Johor di mata dunia berdasarkan pencapaian, kejayaan dan infrastruktur bolasepak terbaik di tanah air," katanya.
Beliau juga yakin tuhan memberkati kewangan kelab JDT.
"Ianya kelihatan seperti semakin teruk kami dikutuk, Allah SWT terus memberkati kami.
"Dan kebenaran akan menyebelahi kami.
"Marilah kita kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda kita sendiri dan jangan terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang negatif," katanya.
Kelemahan Melayu sejak dulu
Beliau turut membandingkan sikap sesetengah orang Melayu yang berusaha "membunuh sesama sendiri".
Tunku Ismail berkata, sekarang adalah masa untuk bertanya kepada diri sendiri mengenai perkembangan bola sepak tempatan dan bukannya mencari kesalahan orang lain.
Kata Tunku Ismail, beliau mempunyai ramai kawan dari kalangan kaum bukan Melayu.
Menurutnya, ketika sesetengah Melayu mempersoalkan institusi diraja dan pasukan bola sepak, kaum lain pula tidak mengutuk perkara itu.
"Mereka lebih berusaha untuk mencari rezeki demi keluarga mereka, sedangkan kaum saya berusaha untuk membunuh sesama sendiri.
"Ini adalah kelemahan orang Melayu sejak dulu lagi.
"Jika anda mahu negara ini maju ke depan dan mahu bola sepak terus membangun, sila tukar mentaliti dan minda anda," katanya.

