Kim Swee akui cabaran besar menanti
Datuk Ong Kim Swee mengakui cabaran yang akan didepaninya sebagai ketua jurulatih kebangsaan cukup besar sepanjang tempoh kontrak dua tahun yang diberikan.
Menurut jurulatih kelahiran Melaka itu, sasaran memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking dunia bagaimanapun bukanlah mustahil.
"Saya berharap dengan kerjasama daripada semua pihak, kita mampu mencapai prestasi lebih baik.
"Sebagai program jangka pendek, kita akan menghadapi Arab Saudi pada 24 Mac ini untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018," katanya dalam kenyataan di portal rasmi FAM.
Selepas menunggu beberapa bulan, teka-teki FAM mengenai jurulatih yang akan menggantikan Dollah Salleh terjawab petang semalam dalam sidang media di Kelana Jaya.
Dengan prestasi negara yang malap, peminat tertunggu-tunggu tokoh bakal dilantik ke jawatan itu.
Pada masa sama, FAM menyatakan ada beberapa jurulatih asing turut berminat - dan disenarai pendek - untuk berkhidmat melatih Harimau Malaya.
Kim Swee berkata, apa yang lebih penting adalah, pemain utama negara perlu mendapat tempat beraksi bersama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia 2016.
"Mengikut perancangan, saya mahu memperbanyakan perlawanan persahabatan untuk membolehkan proses transisi pemain muda diserapkan ke skuad utama kebangsaan bersama pemain senior," katanya.
Tiga penanda aras
Kim Swee mengakui selama dua kali dilantik sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan, banyak perancangan yang tidak sempat dilaksanakan.
Kini, katanya, dia melihat ada ruang yang lebih panjang untuk menyediakan pasukan kebangsaan yang lebih baik.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM, Datuk Mokhtar Ahmad berkata pihaknya menetapkan tiga penanda aras untuk menilai prestasi Kim Swee.
Pertama, katanya, membawa skuad kebangsaan melepasi perlawanan playoff Jun ini untuk layak ke saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019 yang akan bermula tahun depan.
"Kedua, FAM mahu Kim Swee untuk memperbaiki ranking skuad kebangsaan dengan sasaran tangga ke-140 dunia berbanding tangga ke-171 dunia ketika ini.
"Ketiga, Kim Swee perlu membawa skuad kebangsaan mencapai kejayaan pada saingan Piala Suzuki AFF 2016 yang akan berlangsung di Filipina dan Myanmar dari 20 November hingga 18 Disember ini," katanya.

