Selangor mengeluh dakwa pemain 'dicuri'
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerima ujian di saat-saat akhir persediaan menghadapi permulaan musim Liga Malaysia (Liga-M) 2016 apabila pemain mereka didakwa 'dicuri' JDT.
Perkara itu disahkan oleh Pengurus The Red Giants, Amirudin Shari yang mengemukakan bukti berupa surat permohanan penamatan kontrak Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham bertarikh 17 Januari lalu.
Menurut beliau, surat daripada pemain berusia 24 tahun itu turut mengandungi pebusan kontrak bernilai RM960,000 selepas seminggu Mohd Azrif menandatangani sambungan kontrak bersama Selangor.
"Hari ini kita membalas (keputusan) tidak bersetuju kerana ia tidak adil untuk pasukan kerana tinggal dua hingga tiga hari sahaja sebelum tarikh pendaftaran," katanya dalam kenyataan di Twitter.
Amirudin berkata, secara teknikalnya pemain pertahanan itu masih mempunyai kontrak dengan selangor.
"Dan menjadi satu kesalahan jika beliau tandatangan (kontrak) dengan pasukan lain sebelum tebus kontrak.
"Jalan terbaik kami hanya tuntut hak dengan jawatankuasa status FAM untuk menentukan nasib percintaan tiga segi antara Selangor, Mohd Azrif dan JDT," katanya.
Beliau menyifatkan tindakan 'mencuri' pemain saat akhir seperti itu sangat tidak adil kepada mana-mana pasukan.
Bagi Amirudin, langkah seperti itu boleh diibaratkan seperti pemain menjaringkan gol saat pasukan lawan rebah.
"Tapi yang pasti ada kelemahan besar dalam kontrak yang mana sistem bola sepak kita membenarkan tebus kontrak dalam keadaan begini," tambah Exco Belia dan Sukan Selangor itu.
Curi player saat akhir ini sangat tidak adil kepada mana2 pasukan seperti jaringkan gol saat pemain lawan rebah.
— Amirudin Shari (@Amir_Shari) January 19, 2016

