Bekas pengarah syarikat LFE Corporation Berhad, J Alan Rajendram kekal bebas daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM18.99 juta milik syarikat itu, sembilan tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim turut mengekalkan pembebasan bekas penjaga gol simpanan pasukan bola sepak Singapura, Eswaramoorthy Pillay yang didakwa bersubahat dengan Rajendram atas kesalahan sama.

Kamardin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Rosmawar Rozain dari Suruhanjaya Sekuriti terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 14 Mei 2012, yang melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan itu.

Kamardin dalam penghakimannya berkata mahkamah berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen S M Komathy Suppiah yang memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Hakim itu turut berpuas hati dengan keputusan yang diberikan oleh Komathy bahawa wang milik syarikat itu yang diamanahkan kepada kedua-dua tertuduh hanya sebagai pinjaman dan tidak boleh dikatakan mereka melakukan kesalahan pecah amanah.

"Dengan itu, rayuan pihak pendakwaan ditolak dan keputusan hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan," kata Kamardin.

Rajendram, 60, dan Eswaramoorthy, 50, yang hadir pada prosiding hari ini dilihat berpelukan sesama sendiri sejurus mahkamah memberikan keputusan.

Bagi pertuduhan pertama, Rajendram didakwa melakukan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM9.99 juta milik LFE Corporation di Standard Chartered Bank Berhad, antara 11 Jan dan 16 Jan 2007 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bagi kesalahan kedua, Rajendram didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang sebanyak RM9 juta pada 4 Jan 2007, di tempat yang sama manakala Eswaramoorthy pula didakwa bersubahat dengan Rajendram terhadap dua pertuduhan yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Rajendram diwakili peguam Datuk Jerald Gomez dan Joshua Andran manakala Eswaramoorthy diwakili peguam Harvinderjit Singh.

- Bernama