Selepas sekian lama berkecimpung dalam sukan bola sepak, Bojak Hodak mengakui Tengku Mahkota Johor "berada dalam kelas tersendiri".

Dalam status dimuatkan di Facebook Johor Souhtern Tigers, Hodak berkata, apa yang membezakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan orang lain dalam bola sepakj ialah pengetahuan dan sikapnya.

Orang lain bercakap tentang memenangi perlawanan dan trofi. Beliau (Tunku Ismail) pula bercakap mengenai membina empayar bola sepak dan meninggalkan warisan.

"Itulah dia. Cara berfikir yang berbeza. Bangsa Johor cukup bertuah. Saya doakan yang terbaik buat JDT dan semua penyokong JDT," katanya.

Hodak, 44, adalah bekas pemain profesional dari Croatia dan pernah membimbing kelab JDT dan disebut-sebut salah seorang calon jurulatih pasukan kebangsaan.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih Kelantan.

Kenyataan Hodak dibuat sebagai mengulas rancangan Johor membina projek Bandar Sukan di atas kawasan seluas 28 hektar dikatakan di Nusajaya.

Antara kemudahan yang akan disediakan di Bandar Sukan itu nanti ialah hotel dan pusat beli-belah.

Kata Hodak, dia pernah berkhidmat dengan JDT dan Kelantan, selain berkecimpung agak lama dalam sukan bola sepak Malaysia.

Daripada pengalaman itu, Hodak berkata, dia dapat melihat keunikan pada Tunku Ismail.

"Mengapa? Kerana yang menjadi perancang utama di sebaliknya adalah TMJ (Tengku Mahkota Johor).

"Saya telah bertemu dengan ramai orang dalam bola sepak, sama ada yang muda mahupun yang berusia. Tetapi sepanjang kerjaya saya sebagai bekas pemain bola sepak dan jurulatih, visi dan semangatnya begitu sukar dipercayai.

"Saya menghabiskan banyak masa dengan beliau dan mendengar tentang visi dan cintanya terhadap JDT," katanya.