Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) secara rasmi mengesahkan senarai lima calon yang akan merebut jawatan presiden badan dunia itu Februari depan.

Fifa dalam kenyataan mengumumkan, tokoh yang layak bertanding ialah Putera Ali Al-Hussein, Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa, Jerome Champagne, Gianni infantino dan Tokyo Sexwale.

Selain itu, Fifa turut menghantar surat rasmi kepada 208 persatuan bola sepak yang menganggotai badan berkenaan untuk proses pengundian.

"Jawatankuasa pemilihan telah menyelaraskan secara rasmi calon yang memenuhi syarat untuk pemilihan Presiden Fifa pada Kongres Luar Biasa Fifa nanti," kata kenyataan tersebut.

Pencalonan tersebut dilihat tidak mengalami perubahan seperti yang diumumkan pada 12 November tahun lalu.

Ketika itu, Jawatankuasa Etika Fifa mengesahkan enam daripada calon menjalani ujian integriti.

Seorang lagi calon iaitu Michel paltini menarik diri daripada pencalonan selepas digantung selama lapan tahun susulan skandal rasuah.

Hukuman tersebut turut dihadapi bekas Presiden Fifa, Sepp Blatter.

Kedua-dua mereka terpalit dengan skandal rasuah berhubung pembayaran secara rahsia antara 1998 hingga 2002 sekali gus dilarang menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama tempoh tersebut.