Semangat Danielle untuk Raonic
Tidak ramai yang mengenali nama Milos Raonic tetapi dia adalah pemain tenis Kanada pertama berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia setakat ini.
Lawannya juga bukan calang-calang. Untuk mencatat sejarah lebih gemilang Raonic perlu mengatasi pemain pilihan kedua kehohanan, Andy Murray.
Raonic sendiri adalah pemain pilihan ke-13 Terbuka Australia dan kejohanan kali ini adalah Grand Slam kedua disertainya.
Justeru tidak hairanlah kejayaan itu amat dibanggakan kekasihnya, Danielle Knudson.
Model untuk jenama Guess itu dilihat tidak pernah jemu bersorak untuk Raonic dari tepi gelanggang di Melbourne sejak ia bermula.
Menjelang perlawanan 7.30 malam (waktu tempatan) Danielle mempamerkan semangatnya di media sosial.
A photo posted by daniellekn (@danielleknudson1) on
Danielle, 26, memuat naik gambarnya dengan pakaian hampir 100 peratus sama seperti Raonic di gelanggang.
Akaun Instagram Danielle kini diikuti kira-kira 255,000 peminat.
"Ini adalah tahun kamu, @mraonic, teruskan menang,” tulisnya.
Mengikut rekod, Raonic, 25, dan Murray, 28, pernah bertemu enam kali dan setiap seorang pernah memenangi tiga perlawanan.
Daripada jumlah itu, tiga daripada empat pertemuan pertama mereka dimenangi Raonic.
Pemenang perlawanan sebentar nanti akan bertemu Novak Djokovic, 28, di peringkat akhir. Dia mengatasi bekas pemain nombor satu dunia Roger Federer 6 - 1, 6 - 2, 3 - 6 dan 6 - 3 semalam.

