Jujurlah, henti bernostalgia demi bola sepak negara
Filem Ola Bola yang sarat dengan semangat kenegaraan pasti memberi inspirasi buat ramai daripada kita untuk melonjakkan kembali maruah bola sepak Malaysia.
Selama kira-kira satu jam 53 minit, Ola Bola membawa penonton kepada detik nostalgia yang dibanggakan setiap anak Malaysia.
Dalam keadaan Malaysia berada ditangga ke-171 kedudukan dunia bola sepak kini, terasa seakan-akan mustahil untuk mengulangi detik gemilang yang pernah dinikmati puluhan tahun silam.
Justeru, mungkinkah selama-lamanya kita hanya boleh berbangga dengan nostalgia layak ke Sukan Olimpik di Moscow? Apakah 'hadiah' yang boleh kita berikan untuk generasi akan datang untuk mereka kenang-kenangkan?
Bernostalgia tidak salah, namun ia memadai hanya dijadikan bahan sejarah. Jika kita sibuk membelek lipatan sejarah, bilakah kita akan melangkah untuk mencipta sejarah baru?
Persoalan paling mencabar: Apakah mustahil untuk kita melangkah lebih jauh - misalnya ke Piala Dunia?
Tidak.
Kita boleh terus menuding 10 jari kepada FAM tetapi apakah ia boleh menyelesaikan masalah?
Kita bersetuju bahawa FAM perlu bertanggungjawab penuh atas kegagalan yang berlaku sekarang dan sebelum ini. Namun dalam masa yang sama kita mempunyai Generasi 2020 ( Dream Team ) yang sedang digilap bawah projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP yang dianggap sebagai projek melahirkan pemain generasi baru.
Malaysia ada generasi hebat
Malaysia memerlukan anjakan mentaliti yang selama ini berkata "kita tidak boleh" itu dan ini. Barah ini yang membuatkan kita statik di takuk lama dalam tempoh cukup lama.
Antidot ' can do attitude ' perlu diterapkan kepada semua pihak termasuk jurulatih, pemain dan penyokong.
Hari ini Belgium menjadi kuasa terulung dunia bolasepak. Projek pembangunan 10 tahun mereka ternyata berhasil apabila negara itu berada di kedudukan nombor satu dunia.
Bosnia - sebuah negara penuh konflik serta peperangan, malah memperoleh kemerdekaan jauh lebih lewat berbanding Malaysia iaitu tahun 1992- pernah bersaing dalam pusingan akhir Piala Dunia.
Kini Bosnia berada di kedudukan ke-22 dunia.
Thailand adalah contoh yang lebih 'pedih'. Jika dulu negara itu langsung tidak mampu menyaingi kita kini ia menjadi kuasa besar Asia Tenggara dengan kedudukan ke-125 dunia.
Palestin pula yang sehingga kini dibayangi senjata api Israel masih berada di kedudukan lebih baik berbanding Malaysia di tempat ke-131.
Kita yakin Malaysia mempunyai generasi hebat.
Tidak mungkin legasi atau 'DNA' Supermokh (Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari), Taukeh (Datuk Soh Chin Aun), R Arumugam dan pemain lain dalam skuad 1980 langsung tidak tersisa dalam urat nadi atlet kini.
Kembali jujur pada tunas di akar umbi; bina dan gilap mereka. Jika yang terdahulu boleh lakukan, mengapa tidak sekarang?
EKHSAN BUKHAREE BADARUL HISHAM adalah penyelaras Pusat Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA)

