Klopp gembira Guardiola sertai cabaran EPL
Kedatangan Pep Guardiola ke England adalah perkembangan baik dan membawa manfaat buat bola sepak Inggeris, kata Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Menurut Klopp, Guardiola akan memberi kesan lebih baik khususnya di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Terdahulu, pengurus Bayern Munich itu dilaporkan bakal menggantikan Manuel Pellegrini sebagai jurulatih baru Manchester City bermula Julai depan.
Perkara itu disahkan pihak pengurusan The Citizens selepas kandungan kontrak pelantikan jurulatih berusia 45 tahun itu bocor.
Kata Klopp, Guardiola salah seorang pengurus terbaik dunia.
"Dia pernah membimbing dua kelab besar dan nanti akan bekerja di Menchester City.
"Beliau sudah menjuarai segalanya (kejohanan) di Jerman dan Sepanyol. Saya kira itu perkara yang baik untuk EPL," katanya.
Ketika menjadi jurulatih Borussia Dortmund, Klopp pernah menghadapi Guardiola dalam lapan perlawanan (musim 2013/2004 dan 2014/2015).
Dari keseluruhan pertemuan itu, kedua-dua jurulatih itu masing-masing menang empat perlawanan.
Guardiola sebelum ini dilaporkan akan meninggalkan posisinya di Munich pada akhir musim nanti sekali gus mengundang pelbagai gosip di kalangan media.
Jurulatih dari Sepanyol itu turut mengakui mahu meneruskan kariernya di England.

