Program Podium susah masuk senang keluar
Atlet yang terpilih menyertai Program Podium ditegaskan tidak memiliki keistimewaan untuk terus berada dalam senarai wakil negara sekiranya gagal memenuhi kriteria ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, selepas melalui sesi pemilihan yang sukar atlet terbabit tidak diberi jaminan sekiranya tidak mencapai KPI (indeks petunjuk utama prestasi).
"Program Podium ini boleh diibaratkan sukar masuk (sertai), tapi senang keluar. Ia bukan dapat disertai sehingga akhir kerjaya seseorang atlet tetapi (bergantung) kepada pencapaian mereka.
"Atlet belum terpilih juga masih berpeluang dipilih sekiranya menunjukkan tahap keputusan (pencapain) lebih baik," katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Podium di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
Program Podium diletakkan di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN) dengan fokus utama diberikan kepada atlet, jurulatih dan persatuan.
Dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi atlet mereka dipersiapkan untuk mencapai kejayaan di peringkat Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik.
Mengulas lanjut program yang menelan peruntukan RM75 juta setahun itu Khairy berkata ia melibatkan 97 atlet dan 36 jurulatih bagi 21 jenis sukan.
"Program Podium menjadi peneraju kepada ekosistem prestasi tinggi dengan matlamat untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Dengan bajet yang diperuntukan kita yakin program komprehensif ini mendukung transformasi prestasi tinggi. Bidang sukan Malaysia berupaya melakar nama di mata dunia," katanya.
Sementara itu ditanya mengenai pemilihan Datuk Lee Chong Wei ke (
gambar
) program tersebut walaupun berhasrat untuk bersara, Khairy Jamaluddin berkata, setiap atlet mempunyai peluang selagi mereka beraksi.
"Chong Wei kita sasar sehingga Olimpik Tokyo. Selagi dia bermain untuk negara apa saja kelebihan kita akan beri kepada beliau.
"Kalau dia umur 60 tahun dan masih main pun kita boleh pilih dia," katanya dalam nada berjenaka.
Jaguh badminton negara itu sebelum ini dilaporkan akan bersara selepas temasya Olimpik Rio De Jendro tahun ini.

