Gagal ke pusingan playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tewas kepada Muangthong United malam tadi ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez tetap positif dan gembira.

Menurut Gomez, ia ekoran persembahan pemain JDT yang bersemangat kental dan mampu bertahan sehingga perlawanan berlarutan ke saingan penalti.

"Saya amat gembira dengan persembahan para pemain pada malam (tadi). Kita bermain di tempat lawan menentang pasukan yang sangat berpengalaman.

"Bagi kami, bermain dengan baik dan kekal bertahan sehingga penentuan sepakan penalti adalah satu pencapaian yang baik dan saya tidak ada apa yang lebih menggembirakan daripada itu," katanya dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers.

Terdahulu, JDT tewas 0-3 menerusi sepakan penalti pada aksi kelayakan kedua ACL di Stadium Thunderdome, Nonthaburi Thailand selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas masa tambahan.

Tambah Gomez, barisan pemain skuad Harimau Selatan itu telah menunjukkan disiplin dan daya ketahanan yang hebat.

"Mereka juga bermain bola sepak dengan baik dan saya percaya pasukan ini mempunyai masa depan yang cerah.

"Sekarang kami akan pulang dan akan menumpukan kepada sasaran kami seterusnya. Saya gembira dengan para pemain kerana mereka menampilkan karakter yang hebat malam ini," jelas beliau.

2016 AFC CHAMPIONS LEAGUE - PRELIMINARY STAGE 2 | MUANGTHONG UNITED vs JDTFull Time (AET)MUANGTHONG UNITED [0] - [0]...

Posted by JOHOR Southern Tigers on Tuesday, February 2, 2016

Tambah jurulatih dari Argentina itu, mereka masih mempunyai masa yang panjang dan akan terus memberikan tumpuan sepanjang musim ini.

Sementara itu, Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kemampuan JDT beraksi dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) adalah satu penghormatan besar.

"Bermain untuk perlawanan kelayakan ACL dan pertandingan AFC untuk dua tahun jelas menunjukkan bahawa kita adalah yang terbaik di negara ini.

"Tahniah kepada pemain dan pasukan atas usaha dan kerja keras mereka. Sekarang masanya untuk kembali bekerja dan berusaha untuk sasaran lain yang telah kami tetapkan untuk tahun 2016," katanya.