Semangat PQPTRW kini dibakar Vida
Berfikiran terbuka, mudah didekati dan senang dibawa berbincang antara keistimewaan Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othman yang menjadi pembakar semangat barisan pemain Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).
Perkara itu diakui oleh pemain sayap Kelantan, Wan Zack Haikal Wan Nor yang menyifatkan jutawan kosmetik itu sebagai "pencetus inspirasi".
Menurut Wan Zack, kehadiran Hasmiza yang lebih mesra dengan panggilan Datuk Seri Vida itu menggembirakan semua pemain dan Kafa.
"Datuk Seri Vida seorang yang baik, peramah, sporting dan berfikiran terbuka.
"Beliau boleh mendengar dan terima pandangan daripada pemain dan pengurusan Kafa," katanya ketika ditemui di program bersama pemain bola sepak anjuran Super Best Power di Subang Jaya hari ini.
Sebelum ini Hasmiza mengejutkan peminat bola sepak tempatan selepas mengumumkan hasratnya menaja pasukan Kelantan.
Harap pada anjakan
Ia kemudian dimeterai melalui kontrak penajaan bernilai RM16 juta untuk dua musim.
"Kami tidak kisah siapa penaja tapi yang lebih penting mampu mengubah pasukan menjadi lebih baik.
"Pada saya beliau (Hasmiza) menjadi pembakar semangat pemain supaya mempamerkan aksi cemerlang bagi setiap perlawanan pada musim 2016 ini," katanya.
Sementara itu, kekalahan 0 - 2 PQPTRW dalam perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur Selasa lalu dianggap sebagai peringatan untuk skuad itu bangkit dalam saingan akan datang.
"Bagus juga kalah awal boleh lihat kekurangan untuk baiki kelemahan yang ada.
"Kelantan bersedia untuk hadapi pembukaan Liga Super minggu depan untuk bertemu Perak," kata Wan Zack.
Sementara itu Hasmiza ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau tidak sabar untuk melihat anjakan besar dalam bola sepak Kelantan.
"Anjakan untuk pasukan, dengan dukungan dan sokongan di kalangan penyokong wanita dan kanak-kanak," katanya yang teruja melihat untuk melihat persembahan PQPTRW menjelang musim 2016.

