Jazeman bertukar angin musim ini
Pelumba profesional negara, Jazeman Jaafar beralih ke tahap lain dalam karier sukan pemotoran selepas mengambil keputusan untuk bersaing dalam siri perlumbaan endurance musim ini.
Katanya beliau telah menandatangani kontrak setahun dengan pasukan HTP Motorsports bagi dua perlumbaan premier di Eropah iaitu Blancpain Sprint Series (perlumbaan selama sejam) dan Blancpain Endurance Series iaitu perlumbaan selama tiga jam.
Pelumba kelahiran program Pembangunan Bakat Petronas itu mempunyai pilihan untuk menyambung kontrak setahun lagi dengan pasukan yang berpangkalan di Jerman itu.
Tawaran itu, katanya, adalah rangsangan tepat pada masanya bagi meningkatkan karier beliau ke tahap lain selepas berjaya bersaing selama tiga tahun dalam perlumbaan Siri Formula Renault 3.5 sejak 2013.
"Perlumbaan ini adalah satu cabaran dan persekitaran baru bagi saya tetapi ia juga adalah batu loncatan bagi membina hubungan kukuh dengan Mercedes dalam mengejar impian saya menjadi pemandu Formula One (F1) pada masa akan datang," katanya di Petaling Jaya semalam.
Pelumba itu berkata keputusan untuk bertukar angin ke perlumbaan endurance musim ini atas nasihat keluarga dan bukan kerana kecewa untuk mencapai impiannya sejak zaman kanak-kanak untuk menjadi pelumba F1.
Pelumba berusia 23 tahun, yang kini berpangkalan di United Kingdom berkata beliau akan memulakan sesi ujian pramusim di Perancis bulan depan bersama pasukannya dengan menggunakan engin Mercedes.
Dalam perkembangan lain, Jazeman berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyertai mana-mana pasukan F1 pada masa akan datang sekiranya menerima tawaran pada masa yang sesuai.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Petronas kerana memainkan peranan penting dalam melonjakkan kariernya ke peringkat yang lebih baik.
"Petronas menjadi tulang belakang saya sejak menyertai mereka dalam program pembangunan bakat sejak 2008 dan tiada kata-kata dapat digambarkan atas segala bantuan yang diberikan oleh mereka untuk membantu meletakkan saya pada kedudukan sekarang," katanya.
Pencapaian terbaik bekas pelumba pasukan Fortec Motorsports itu ialah meraih kejuaraan perlumbaan Siri Formula Renault 3.5 di Monaco, tahun lepas.
- Bernama

