Kemenangan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menentang Sarawak di Stadium Hang Jebat di Melaka malam kelmarin dilihat permulaan baik buat pasukan itu untuk memburu kemenangan kedua menentang Kelantan Selasa ini, kata ketua jurulatihnya Mohd Fauzi Pilus.

Beliau berkata pemain pasukan itu telah mengikut percaturan yang telah ditetapkan dan berdisiplin menangkis serangan dan cubaan pasukan anak didik bekas jurulatih Harimau Malaya Datuk K Rajagobal.

"Bukan mudah untuk mengatasi taktikal Sarawak di bawah bimbingan Datuk K Rajagobal namun alhamdulillah pemain kita mengikut arahan yang diberikan dan mereka komited menunjukkan permainan cemerlang walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan hujan dan padang licin.

"Perlawanan pertama ini diharap menjadi pemangkin kepada pemain untuk terus menunjukkan persembahan yang cemerlang dalan perlawanan seterusnya. Malam ini adalah rezeki pasukan atas usaha dan kesungguhan yang telah dilakukan," katanya kepada pemberita selepas selesai perlawanan malam kelmarin.

PDRM menewaskan Sawarak 1-0 untuk memungut tiga mata penuh menerusi jaringan penyerangnya Ashfaq Ali pada minit ke-76.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata skuad The Cops disaran tidak berasa selesa atau terus dibuai mimpi indah dengan kemenangan yang diperolehi malam tadi dan perlu mempertingkatkan momentum untuk perlawanan seterusnya di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sementara itu, Rajagobal berkata kekalahan Skuad Bujang Senang itu dilihat kerana pemain tidak menunjukkan kemampuan sebenar dengan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

"Apa yang saya nampak pamain lebih bertahan daripada melakukan serangan. Sedikit perbezaan hanya dapat dilihat pada masa kedua yang mana kita mempunyai peluang namun tidak dapat menembusi pertahanan PDRM.

"Perjalanan pasukan ini masih panjang kerana ini baru perlawanan pertama. Pemain kena sedar perjalanan kita bukan senang dan ada perlawanan sukar yang perlu ditempuhi," katanya.

Sarawak akan menentang Felda United di Stadium Negeri Kuching Sarawak pada aksi kedua Selasa ini.

Dalam perkembangan lain, Rajagobal berkata pihak pengurusan pasukan itu diharap dapat menyelesaikan status Syahrul Azwari Ibrahim bagi membolehkan bekas pemain Harimau Muda A itu segera beraksi dalam perlawanan seterusnya.

- Bernama