Peminat dan penyokong Kedah berpeluang menyaksikan perlawanan skuad kesayangan mereka bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar secara percuma malam esok.
Tawaran menarik itu dibuat ketika Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) masih bergerak seperti ayam tampa ibu apabila jawatan presiden badan berkenaan masih kosong ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut Bernama jawatan berkenaan hanya akan diisi selepas ahli jawatankuasa KFA bermesyuarat.
Pelantikan pula, lapor agensi berita nasional itu, kemungkinan besar akan dibuat awal bulan Mac ini.
Menurut Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Masri Syed Abdullah mesyuarat exco KFA mungkin diadakan pada minggu ini juga.
"Barisan exco tiada perubahan, sebab masih kekal hingga 2018. Hanya jawatan presiden kosong.
"Presiden perlu kepada pencalonan... itu yang kita kena ikut perlembagaan persatuan," katanya dipetik Bernama .
Jawatan Presiden KFA kini kosong selepas Mukhriz meletakkan jawatannya serentak dengan penyingkiran beliau daripada jawatan Menteri Besar Kedah.
ADUN Bakar Bata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kini dilantik menggantikan Mukhriz.
Penyingkiran Mukhriz juga menyebabkan beberapa penaja menarik diri daripada membantu skuad Helang Merah bersaing dalam Liga Malaysia.
Kedah yang hanya bermain dalam Liga Perdana musim lalu mencatat kejayaan membanggakan apabila melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum hajat mereka merangkul kejuaraan paling berprestij itu disekat The Red Giant di Stadium Shah Alam.
Mengenai penajaan skuad Helang Merah, Syed Unan dilaporkan berkata pihaknya masih berusaha mencari penaja baru.
Pada masa sama, katanya, penaja sebelum ini belum memberikan kata putus untuk menarik diri.
"Jadi kita akan menyusul (membuat tindakan susulan). Kalau dia (penaja) masih berminat juga dengan syarat itu, kita mungkin akan dapat," katanya.
Sementara itu KFA yang menyediakan 24,000 tiket percuma yang boleh diperoleh di 16 kaunter tiket di Stadium Darul Aman mulai pukul 10 pagi esok.
Syed Unan berkata keputusan itu dibuat kerajaan negeri dan KFA sebagai menghargai peminat bola sepak Kedah.
"Setiap peminat hanya boleh dapatkan satu tiket sahaja. KFA juga akan memperuntukan 200 tiket kepada setiap 30 anggota gabungan KFA," katanya di sidang media di Alor Setar hari ini.
