Gol 'ajaib' Faiz bukan faktor tuah, nasib
Bukan bergantung pada tuah tetapi ketua jurulatih bola sepak negara Datuk Ong Kim Swee percaya sepakan istimewa Faiz Subri itu memang disengajakan.
Mudah? Memang susah tetapi dengan latihan yang gigih dan teknik yang betul ia bukan sesuatu yang mustahil atau aneh.
Kim Swee berkata, melalui kombinasi latihan, teknik dan keyakinan diri membolehkan pemain Pulau Pinang itu menghasilkan jaringan cantik tersebut.
"Saya mengamati video sepakan Faiz. Berdasarkan kedudukan dan gaya ketika mengambil sepakan itu saya nampak dia memang menyasarkan bola ke arah gol.
"Kalau ada pun kemungkinan sepakan itu (dipengaruhi) bantuan angin hanya sedikit saja, tetapi saya tidak pasti perkara itu," katanya kepada Malaysiakini .
Terdahulu, Faiz (
gambar
)
menjadi perhatian ramai
- termasuk di luar negara - kerana menghasilkan 'gol ajaib' ketika membantu skuad Harimau Kumbang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super, malam kelmarin.
Video sepakan penyerang berusia 28 tahun itu menjadi viral di kalangan pengguna media sosial termasuk di peringkat antarabangsa .
Kim Swee berkata, beliau yakin sekiranya seseorang pemain komited melakukan latihan sepakan seumpama itu ia boleh dilakukan.
"Untuk mendapat kelebihan itu, pemain perlu mengambil usaha sendiri dan tidak bergantung kepada jurulatih semata-mata. Kalau dia bersungguh-sungguh, mesti boleh buat.
"Selain itu, mereka perlu ada keyakinan tinggi seperti dilakukan Faiz untuk menterjemahan skill (kemahiran) tersebut ketika perlawanan berlangsung," katanya.
Di bawah radar
Sehubungan itu tambah beliau, setiap pemain bola sepak perlu sentiasa mencabar diri mereka untuk melakukan aksi terbaik ketika di atas padang.
Katanya, di kalangan pemain tempatan terdapat beberapa pemain yang sememangnya berbakat mengambil sepakan percuma.
"Seperti umum tahu, kita ada pemain seperti Safiq Rahim yang mempunyai kebolehan melakukan teknik sepakan percuma yang baik dan boleh menghasilkan gol.
"Jadi saya berharap, pemain lebih berusaha untuk mendalami skill sedemikian kerana ketika latihan skuad negara kita tidak ada banyak masa untuk beri tumpuan kepada individu.
"Biasanya pemain akan dipanggil dalam tempoh empat atau lima hari sebelum perlawanan melibatkan pasukan negara.
"Saya akan tumpuan kepada taktikal dan latihan sepasukan," jelas jurulatih kelahiran Melaka itu.
Sementara itu, ditanya persepsi beliau terhadap kemampuan Faiz untuk dipilih mewakili pasukan negara Kim Swee berkata, pemain itu sememangnya dalam radar beliau.
"Saya sentiasa memantau perkembangan dan prestasi pemain ketika mereka beraksi di dengan pasukan masing-masing untuk dipanggil ke skuad kebangsaan.
"Setakat ini saya belum panggil Faiz, tetapi dulu dia pernah beraksi ketika pasukan di bawah kendalian jurulatih Dollah Salleh," katanya.

