Walaupun hanya kelab dari divisyen tiga, pasukan Kelantan tetap menurunkan kesebelasan pemian terbaiknya di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu malam ini.

Ketua jurulatih Kelantan K Devan berkata pasukannya tidak akan memandang rendah kemampuan UKM FC walaupun di atas kertas perbezaan antara kedua-dua pasukan amat ketara.

Menjelang aksi pusingan kedua Piala FA itu katanya, selaku naib juara musim lalu Kelantan memberi keutamaan untuk melayakan diri ke pusingan ketiga.

"Selepas dua perlawanan sebelum ini kita lihat prestasi individu (pemain) semakin meningkat.

"Begitu juga keserasian antara pemain tempatan dan pemain import.

"Jadi saya harap, pemain dapat beri persembahan terbaik malam ini walaupun lawan yang dihadapi cuma UKM FC," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut beliau, jika ada pun rombakan, ia hanya kecil dan berpunca daripada masalah kecederaan pemain.

"Saya akan cuba kekalkan kesebelasan utama sedia ada dan bergantung kepada keputusan mesyuarat petang ini untuk melihat tahap dan kecergasan pemain," katanya.

Terdahulu, penyerang import Kelantan Blazhe Lllijoski dilaporkan mengalami kecederaan ketika beraksi menentang PDRM pada saingan kedua Liga Super minggu lalu.

Tanpa memberi tumpuan perkembangan pasukan lain, Devan berkata, anak buahnya bersedia dan akan memberi tumpuan terhadap satu per satu saingan di hadapi mereka.

"Buat masa ini saya tidak memikirkan tentang prestasi pasukan lain, apa yang penting kami kena layak ke pusingan ketiga.

"Kemudian kita bergantung kepada keputusan undian menentukan kita akan bertemu dengan pasukan mana selepas ini untuk persediaan seterusnya," katanya.

Sementara itu, tujuh perlawanan lain turut berlangsung hari ini akan menyaksikan Sungai Ara FC bertemu Negeri Sembilan, Sabah ditentang KL MOF FC dan Kuala Lumpur menerima kunjungan Melaka United.

Selain itu, Perak dalam misim memburu kemenangan pertama musim ini akan berdepan Sarawak, manakala aksi Pulau Pinang bertemu Kuantan turut menjadi tumpuan penyokong untuk melihat persembahan 'tendangan ajaib' Faiz Subri.

Dalam pada itu, Shahzan Muda FC turut beraksi melayan kunjungan ATM dan Felda United akan bermain di gelanggang sendiri menentang Perak PBI.