Pengurus Chelsea, Guus Hiddink mengandaikan dua gol pantas pada separuh masa pertama menjadi kunci kemenangan mereka ke atas Manchester City, awal pagi tadi.

Pada aksi pusingan kelima Piala FA itu, The Blues menempah tiket pusingan seterusnya apabila berjaya membenam City 5-1 di Stamford Bridge.

Lima jaringan Chelsea masing-masing dihasilkan Diego Costa, Willian, Gary Cahill, Eden Hazard dan Bertrand Traore.

Sementara City yang menurunkan sebahagian besar pemain muda menjaringkan gol tunggal melalui David Faupala.

Bagaimanapun, Hiddink menyifatkan kemenangan mereka bukanlah disebabkan Pengurus City, Manuel Pellegrini tidak menurunkan barisan pemain terkuatnya.

"Manchester City melakukan perubahan, tetapi tidak bermakna perlawanan menjadi mudah kerana pemain muda mereka tampil berbahaya.

"Persembahan baik pada awal separuh masa kedua menjadi kunci kemenangan kami. Kami berjaya menjaringkan gol kedua dan ketiga lebih awal," katanya seperti dilaporkan BBC.

Dua gol tersebut dijaringkan Willian dan Cahill masing-masing pada minit ke-48 dan 53.

Sementara itu, Pellegrini menjelaskan tindakan beliau menurunkan barisan pemain muda.

Katanya, ia susulan tahap kecergasan pemain utama mereka kurang memuaskan dan khidmat mereka diperlukan untuk saingan di Liga Juara-juara.

"Jika kami bermain pada hari Sabtu mungkin lebih baik. Kemudian akan tampil di Liga Juara-juara. Dengan enam cedera dan kami tak perlu diambil risiko.

"Kami bertemu dengan pasikan yang sangat bagus dan itulah sebabnya mereka menang," katanya.

Bagi perlawanan berikutnya, Chelsea diundi bertemu Everton di Stadium Goodison Park, 12 Mac depan.