Anugerah Puskas: FAM hantar nama Faiz ke Fifa
FAM hari ini mengambil tanggungjawab menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk mencadangkan gol pemain Pulau Pinang, Faiz Subri dicalonkan dalam Anugerah Puskas 2016.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM mencadangkan kepada Fifa agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu disenarai sebagai antara calon untuk pertimbangan anugerah berkenaan.
"Biarpun mengetahui bahawa senarai 10 calon gol tercantik Anugerah Puskas akan dicadang dan dipilih sendiri Fifa dan jawatankuasa pemilihannya, kita berpendapat surat cadangan tersebut perlu dihantar.
"Ia sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian Fifa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selasa lalu, pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di George Town, Faiz menjaringkan gol ketiga buat pasukannya melalui sepakan percuma yang menarik tumpuan dunia.
Menurut FAM, sepakan percuma unik itu dilakukan Faiz dari jarak kira-kira 32 meter pada minit ke-62.
"Berdasarkan keunikan gol berkenaan, FAM yakin ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon gol tercantik dunia yang bakal dicalonkan dalam Puskas 2016.
"Ini sekali gus satu sejarah baru buat sukan bola sepak Malaysia," kata Hamidin.
Bersama surat tersebut, katanya, FAM turut melampirkan salinan video gol berkenaan.

