Badminton: Frost puji Zulkarnain, Jin Wei
Pemain badminton negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Goh Jin Wei menunjukkan prestasi cemerlang di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2016 di Hyderabad, India baru-baru ini.
Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berkata dalam kejohanan itu, kedua-dua pemain membuktikan kebolehan mereka bersaing dengan pemain bertaraf lebih tinggi.
"Saya percaya mereka boleh menjadi 20 pemain terbaik di dunia tidak lama lagi. Iskandar Zulkarnain dan Jin Wei mempamerkan prestasi hebat di Hyderabad.
"Jin Wei mengalahkan pemain nombor 11 dunia dalam percubaan pertamanya, dan ia sememangnya hebat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.
BATC yang dianjurkan Konfederasi Badminton Asia, diadakan pada 15 hingga 21 Februari.
Mengulas mengenai skuad muda wanita dan lelaki kebangsaan, Frost menganggap kedua-dua pasukan telah membuat persembahan yang baik dan berpuas hati dengan pasukan Malaysia yang hanya bertahan di peringkat suku akhir.
"Pasukan lelaki sangat rapat dengan India. Ia prestasi yang bagus. Malangnya, pasukan wanita tidak dapat meneruskan kejohanan selepas tewas dalam acara beregu.
"Kita mempunyai peluang untuk menang, tetapi gagal, saya harap kita boleh menang dalam Piala Uber berdasarkan ranking dunia," katanya.
- Bernama

