Janganlah begitu Datuk Vida...
Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othman disaran bersemuka dengan ketua jurulatih pasukan itu sekiranya mahu memberikan teguran dan tidak membuat kenyataan terbuka.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net), Mahizi Mahmood berkata teguran Hasmiza terhadap pasukan adalah wajar tetapi tidak perlu melalui media massa.
"Beliau boleh bersemuka dengan Devan untuk memberi pendapat kerana mungkin beliau ada pendapat tersendiri.
"Cuma medium penyampaian perlu lebih teliti kerana ia mungkin boleh disensasikan pihak tertentu," katanya kepada Malaysiakini .
Terdahulu, Hasmiza atau dikenali sebagai Vida mendesak ketua jurulatih Kelantan, K Devan mengubah taktik permainan pasukan yang disifatkan sebagai sudah lapuk dan mudah dibaca pihak lawan.
Gesaan itu dilontarkan Hasmiza susulan kemenangan tipis 1-0 ketika Kelantan dicabar pasukan UKM FC pada aksi pusingan kedua Piala FA, Sabtu lalu.
Belum masa untuk panik
Sementara itu mengulas prestasi semasa skuad Pamoga Qu Puteh itu, Mahizi berkata bekas juara tiga piala musim 2012 itu tidak perlu menekan butang panik buat masa ini.
"Dalam tiga perlawanan sebelum ini, Kelantan belum tewas. Cuma taktikal yang digunakan Devan setakat ini kita agak diragui.
"Kami harap penyokong bersabar dengan situasi sekarang dan beri peluang kepada jurulatih untuk mencari formula terbaik," jelasnya.
Tambah beliau, pasukan Kelantan musim ini dilihat begitu tumpul khususnya pada bahagian serangan.
"Jadi kita perlu beri peluang kepada Devan agar beliau dapat menambah sengat di posisi serangan," jelasnya.
Selepas dua perlawanan di Liga Super, skuad Kijang kini berada di kedudukan keempat dengan mengumpul empat mata selepas mencatat satu keputusan seri dan satu kemenangan.
Untuk perlawanan seterusnya, mereka bakal dicabar pasukan Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.

