Sudah tiba masa Fifa diketuai wanita?
Ketika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terus dibayangi pelbagai skandal salah laku dan rasuah, mungkin ada baiknya jika kita membayangkan badan dunia itu diterajui wanita.
Walaupun pada pemilihan Presiden Fifa berlangsung hari ini tidak mengangkat seorang pun calon tokoh wanita, CNN mengemukakan bayangan bagaimana dunia bola sepak jika ia berketuakan seorang wanita.
Sebagai organisasi yang berhadapan dengan krisis terbesar sepanjang 112 tahun sejarah penubuhannya, motto Fifa - "Untuk bola sepak, untuk dunia" - dilihat tidak benar-benar dipraktikkan.
Penduduk global umumnya dibahagikan kepada dua gender - lelaki dan wanita, namun lebih 99 peratus daripada mereka yang mengundi untuk memilih presiden baru Fifa hari ini adalah lelaki.
Bagaimana jika seorang perempuan diberi tanggungjawab menjadi pemimpin? Apakah keadaan Fifa jika tokoh seperti Canselor Jerman Angela Merkel berada di tempat Sepp Blatter sebelum ini?
Memberi banyak manfaat
Timbalan Ketua Meja Politik akhbar Jerman, Die Welt Karsten Kammholz menyifatkan, jika Merkel diberi tanggungjawab, Fifa akan menjadi sebuah badan sukan dihormati.
"Orang akan berbincang dan berhujah mengikut standard demokrasi. Tokoh wanita yang begitu juga akan menyingkirkan rakan-rakannya yang korup," katanya.
Daripada 209 badan bola sepak yang bernaung di bawah Fifa kini, hanya dua persatuan diketuai wanita sebagai presiden.
"Dari sudut etika, saya fikir ia akan memberi manfaat," kata Prof Michael Haselhuhn dari Universiti California.
Menurut Haselhuhn, kajian menunjukkan lelaki lebih terdedah kepada salah laku dan menyeleweng dalam tugas berbanding wanita.
"Dari sudut etika, saya kira wanita boleh memberi manfaat kepada mereka (Fifa). Sudah pasti, pada ketika ini ia seolah-olah perubahan yang akan membawa keuntungan," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sierra Leone, Isha Johansen (
gambar
) berpendapat, Fifa ialah "kelab budak-budak lelaki" dengan mentaliti tidak mengapa jika sesuatu urusan itu dilakukan 'mengikut pintu belakang'.
"Saya fikir, wanita secara umumnya tidak akan mengalah kepada masalah, terutama ketika mereka mempengaruhi kerajaan dan belia," katanya.
Serang peribadi, bukan idea
Isha, 52, adalah seorang daripada dua wanita yang 'sangat bertuah' kerana menduduki kerusi tertinggi persatuan bola sepak kebangsaan.
Mengikut budaya masyarakat Sierra Leone, kata Isha, lelaki di sektor pentadbiran dan politik lebih cenderung untuk bersikap lebih kurang dan ia membuka pintu kepada banyak masalah.
"Lelaki ada cara sendiri untuk menyelesaikan masalah - secara tertutup dan ketika borak-borak sambil minum-minum.
"Bagi wanita, jika keputusan penting perlu dibuat, kebanyakannya akan membuat keputusan yang betul walaupun ia tidak popular," katanya.
Ketua Perhubungan Korporat dan Hal Ehwal Awam Persekutuan Bola Sepak Australia, Bonita Mersiades pula berkata, dia pernah berdepan dengan suasana mesyuarat yang bertelingkah mengenai personaliti seseorang, bukan isu pokok yang sepatutnya dibincangkan.
"Tiada sesiapa mahu berhujah secara intelektual. Mereka berbalah mengenai siapa yang memihak kepada siapa dalam mesyuarat itu," katanya.
Bonita adalah orang yang menjadi pemberi maklumat kepada laporan yang tidak pernah diterbitkan mengenai kemungkinan berlaku amalan rasuah dalam pemilihan negara tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022.
"Seperti kebanyakan wanita di seluruh dunia yang berjaya memecah kekangan dalam politik di negara masing-masing, saya rasa keadaan sama akan berlaku dalam sukan bola sepak," katanya.

