Willy Caballero jadi wira City
Penjaga gol utama mengawal gawang Liverpool, manakala Manchester City meletakkan keyakinan kepada penjaga gol kedua Willy Caballero dalam perlawanan akhir Piala Liga.
Dan detik mencemaskan dan dramatik kemudian menjadi milik Caballero - pemain dari Argentina itu.
Selepas terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan, penentuan juara terpaksa dilakukan melalui tendangan penalti.
Menggantikan Joe Hart, Caballero, 34, berjaya menepis tiga daripada tendangan pemain lawan.
Bagi Simon Mignolet, berada begitu hampir dengan kejuaraan dan melihat impiannya berkecai begitu saja tentu mengecewakan - sama seperti penyokong The Kop lainnya.
Persembahan Mignolet, 27, dianggap satu daripada bukti bagaimana kekuatan mental sangat berpengaruh kepada seseorang pemain.
Walaupun kelihatan segar dan bersemangat sehingga tamat separuh masa pertama persembahan pemain dari Belgium itu nampak merosot selepas itu.
Stadum Webley seakan-akan menjadi kanta pembesar kepada mana-mana pemain yang beraksi di situ. Segala kelebihan dan kelemahan cepat saja disedari.
Justeru Mignolet juga tidak terkecuali daripada nasib sebegitu.
Pada minit ke-49 pertahanan Liverpool 'koyak' dan kubu dikawal Mignolet roboh dengan jaringan Luis Fernandinho.
Dia memang berjaya melakukan aksi tangkas menyelamatkan gawangnya dua kali tetapi tumpuannya tidak penuh secara konsisten.
Buat percaturan tepat
Sebaliknya perlawanan itu menjadi detik manis untuk Caballero dan pengurus City, Manuel Pellegrini.
Sebelum perlawanan bermula cakap-cakap peminat menjangkakan Liverpool tidak berdepan masalah besar untuk mengatasi City melalui gerakan pantas dan serangan bertali arus seperti dipamerkan mereka dalam pertemuan EPL.
Pada masa sama pertahanan City juga tidak dikawal pemain pilihan utama Pellegrini, Vincent Kompany.
Bagaimanapun perancangan itu kelihatan tidak menjadi seperti diharapkan dan Caballero tidak benar-benar teruji sehinggalah ke minit 83 apabila Phillippe Coutinho menjaringkan gol penyamaan.
Pada masa sama City juga tidak dapat diberi pujian sangat kerana berdasarkan kepada senarai pemain di atas kertas mereka sepatutnya boleh lebih mendominasi.
Namun selepas perlawanan masa tambahan ditamatkan kedudukan tetap terikat 1-1.
Kemudian tibalah detik penentuan penalti. Ketangkasan Caballero membuktikan Pellegrini - yang kini berada di musim terakhir bersama City - membuat percaturan tepat.
Dia menepis tiga tendangan pemain Liverpool, Lucas Leiva, Coutinho dan Adam Lallana sebelum Yaya Toure melengkapkan detik manis City mengungguli Piala Liga musim ini.
Sebelumnya gol City dijaringkan oleh Jesus Navas dan Sergio Aguero selepas Fernandinho gagal membuat jaringan melalui tendangan penalti pertama.
Pellegrini sendiri berkata, dia berazam untuk membawa lebih banyak piala untuk peminat City walaupun akan meninggalkan pasukan itu selepas musim kali ini berakhir.
Jurgen Klopp pula percaya Liverpool sepatutnya boleh menjadi juara namun semalam nasib mereka tidak cukup bertuah, terutama ketika berada di petak penalti lawan.

