Belum masa Arsenal angkat bendera putih
Di sebalik kegembiraan Manchester United kerana mengalahkan Arsenal malam tadi, pengurus The Gunners masih yakin skuadnya masih berhak bersaing merebut kejuaraan liga musim ini.
Walaupun mengakui keadaan kian sukar dan masa pula semakin suntuk, Arsene Wenger berkata cita-cita itu mampu dicapai jika semua pemain mempamerkan kemampuan sebenar di atas padang.
Kekalahan kepada United di Old Trafford malam tadi, kata Wenger, memang pengalaman pahit.
Pada masa sama Wenger turut membayangkang kesabarannya semakin sampai ke penghujung apabila melihat sebahagian pemain Arsenal gagal menyerlah seperti diharapkan.
Ketika jurang antara Arsenal dan Leicester City hanya dibezakan dua mata pada hujung minggu lalu The Gunners gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk memintas atau sekurang-kurangnya mengikuti rapat pendulu liga.
Penganalisis berpendapat terlalu ramai pemain Arsenal yang berada di tahap tidak memuaskan ketika United hanya perlukan tiga mata untuk menempatkan diri dalam saingan Liga Juara-juara musim depan.
"Kami masih berpeluang memenangi kejuaraan dan masa yang ada memadai untuk Arsenal merapatkan jurang," kata Wenger.
Penyerang bersalah
Katanya, selepas tercicir tiga mata penting di Old Trafford Arsenal mesti gigih berusaha untuk bangkit menebus kesilapan sebelum ini.
Katanya, Arsenal "tidak tahu apakah makna kekalahan" malam tadi sehinggalah di akhir musim nanti.
Diminta mengulas prestasi pemainnya, Wenger berkata ia terserah kepada sesiapa untuk membuat penghakiman.
"Anda sudah cukup dewasa dan bijak membuat penilaian. Saya pula akan membuat analisis sekali lagi sebelum mengeluarkan sebarang komen," katanya.
Di sebalik itu, Wenger menyatakan kekesalannya kerana Arsenal menguasai sebahagian besar bola tetapi melepaskan tiga gol.
"Ia perlawanan sukar untuk kami," katanya.
Kemudian Wenger membayangkan kekecewaanya kepada tiga penyerang yang dipertaruhkan untuk menumbangkang David De Gea - Danny Welbeck, Theo Walcott and Alexis Sanchez.
"Saya sangkakan mereka boleh menjadi benteng pertahanan ketika keadaan memerlukan. Sukar mempercayai mereka bersalah kerana membiarkan lawan menjaringkan gol," katanya.

