Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kemunculan Pengarah Urusan D'Herbs Holding, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mencuri perhatian ramai sebentar tadi.

Ini kerana sebelum ini Aliff Syukri sudah menyatakan keputusan syarikatnya membatalkan hasrat menaja pasukan Helang Merah ekoran penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai sebagai menteri besar.

Kedua-dua mereka turun ke Stadium Darul Aman di Alor Setaruntuk menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah dan Kelantan.

Walaupun Ahmad Bashah belum dinobatkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) secara rasmi, malam ini adalah kehadiran pertama beliau secara rasmi menonton perlawanan pasukan Kedah sejak dilantik sebagai menteri besar.

Melalui gambar yang dimuat naik Facebook Kedah FA, kelihatan kehadiran beliau disambut barisan pengurusan KFA. Aliff Syukri dilihat berada di belakang Ahmad Bashah.

Kemunculan Aliff Syukri atau lebih dikenali dengan panggilan 'Abang Terlajak Laris' itu menimbulkan persoalan di kalangan penyokong Kedah.

Pada awal Februari lalu, beliau membuat pengumuman untuk tidak meneruskan hasrat menaja pasukan Kedah selepas Mukhriz disingkirkan daripada jawatannya sebagai menteri besar.

Ketika ditanya mengenai kemunculan beliau di Stadium Darul Aman malam ini, Aliff Syukri enggan mengulas lanjut.

"Mana awak tahu? Biarlah rahsia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Januari lalu, Aliff Syukri mengadakan pertemuan dengan Mukhriz bagi membincangkan mengenai penajaan skuad Helang Merah.

Namun, perbincangan lanjut gagal berlangsung apabila Mukhriz terbabit dalam krisis kepimpinan negeri sehingga mengambil keputusan meletak jawatan menteri besar dan serta jawatan lain termasuk presiden KFA.

Lihat Komen
ADS