Tuah JDT menjadi di Larkin, Selangor lonjak posisi
Buku bertemu ruas, itulah dapat digambarkan perlawanan yang berlangsung di Larkin antara JDT dan Felda United walaupun tuah akhirnya tetap berpihak kepada tuan rumah.
Berkesudahan dengan keputusan 2-1, aksi sepanjang 90 minit diwarnai dengan tekanan dihadapi pasukan tuan rumah di separuh masa pertama sebelum mengesahkan kemenangan mereka.
Permainan kasar dan agresif ditunjukkan kedua-dua pasukan seawal permainan apabila masing-masing saling mengatur serangan.
Bagaimanapun, JDT yang sebelum ini bermain dengan taktikal lebih tenang, kelihatan terpaksa melipatgandakan kepantasan mereka untuk menyaingi Felda United yang menjadi pendahulu Liga Super.
Mungkin terkejut dengan percaturan agresif anak buah Irfan Bakti Salim, skuad Harimau Selatan turut cemas lebih-lebih lagi selepas pasukan pelawat mendahului jaringan di minit ke-29.
Jaringan pemain import Felda, Lutfulla Tureav itu mendiamkan sorakan penyokong JDT buat seketika.
JDT bagaimanapun bangkit mengatur serangan khususnya di separuh masa kedua sekali gus berjaya menghasilkan dua gol.
Pereyra Diaz tampil melegakan jurulatih mereka, Mario Gomez dengan gol penyamaan seawal minit kelima babak masa kedua.
Jaringan Diaz itu dilihat mencetuskan semangat rakan-rakan sepasukannya untuk terus mengasak benteng pertahanan Felda United.
Malah, Gomez turut melakukan pertukaran pemain antara dengan memasukan S Chanturu dan Nazrin Nawi untuk mempertajamkan bahagian serangan.
Dan malang buat The Fighters apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Adib Aizuddin dilayangkan kad merah selepas dikenakan kad kuning kedua.
Kekurangan dialami Felda itu dimanfaatkan JDT dengan menghantar serangan demi serangan ke kawasan gawang lawan sehinggalah Chanturu menjadi wira JDT dengan gol kedua mereka.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan JDT di atas Felda United dengan perbezaan hanya satu mata selepas empat perlawanan diharungi.
Sementara itu di Stadium Darul Aman, magis 'mandi bunga' Kelantan nampaknya tidak memadai apabila mereka ditewaskan pasukan Helang Merah dengan jaringan 2-1.
Situasi lebih kurang sama dialami JDT, Kedah turut ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama sebelum bangkit dengan dua gol untuk mengesahkan kemenangan di separuh masa kedua.
Aksi lain pula menyaksikan Selangor menang 4-2 mengatasi Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sekali gus meletakkan mereka di tempat terunggul Liga Super buat masa ini.
Bagaimanapun kedudukan itu tidak dilihat selesa kerana mereka mengumpul mata sama seperti JDT - 10 mata - dan hanya dibezakan oleh jaringan gol.
Di Stadium Darul Makmur Pahang mencatat kekalahan ketiga apabila tewas 2-1 kepada Terengganu.
Selain itu, Pulau Pinang bertemu Perak dan T-Team dicabar PDRM masing-masing terikat dengan keputusan seri 1-1.

