Prestasi Kelantan belum di tahap membimbangkan
Tidak ada sebab untuk panik walaupun prestasi Kelantan ketika ini tidak seperti diharapkan peminatnya.
Individu yang menyatakannya pula adalah orang yang dirasakan faham keadaan sebenar dialami skuad Kijang itu, iaitu bekas pengurusnya, Azman Ibrahim.
Menurut Azman, kemasukan beberapa pemain baru termasuk tiga pemain import memerlukan masa untuk mencipta keserasian padu.
Begitu juga, katanya, untuk jurulatih.
"Mereka perlukan masa untuk buat perancangan antara pemain dan jurulatih.
"Ini kerana, kalau kita tengok sesebuah pasukan itu menjadi lebih baik dan serasi selepas bersama beberapa lama," katanya ( gambar ) ketika ditemui selepas sidang media Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) di Kelana Jaya, hari ini.
Kelantan sebagai pasukan gergasi sebelum ini dilihat menerima kritikan hebat daripada penyokong mereka susulan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.
Dalam empat perlawanan Liga Super dihadapi anak buah K Devan, mereka hanya mencatat satu kemenangan malah persembahan pemain juga dilihat merosot.
Kelantan yang pernah dianggap pasukan gergasi sebelum ini, menerima kritikan hebat daripada penyokong mereka susulan prestasi lesu mereka setakat ini.
Dalam empat perlawanan Liga Super dihadapi anak buah K Devan, mereka hanya mencatat satu kemenangan dan dua seri ketika kisah tajaan dan gimik skuad itu masih lagi diingati ramai.
Memberikan contoh pasukan Pahang, Azman berkata skuad itu menunjukkan prestasi ditahap terbaik kerana dibarisi pemain yang hampir sama sejak 2011.
"Begitu juga JDT apabila pemain utama mereka tak bertukar," katanya.
Beri ruang bertenang
Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, banyak faktor perlu difikirkan pengurusan pasukan ketika mengharungi cabaran semasa.
Tindakan menghentam pasukan, katanya, akan memberi tekanan tambahan kepada pemain dan jurulatih.
"Pasukan memang perlukan post mortem , tengok punca-punca sesuatu keputusan dan fikir apa yang perlu diperbaiki. Penyokong pula kena bagi peluang sewajarnya," kata Azman.
Berdasarkan keadaan selepas empat perlawanan Liga Super dan Piala FA, katanya, peminat perlu memberi ruang untuk Kelantan "bertenang".
Mengulas pengalaman mengurus Kelantan selama sedekad sehingga 2015, Azman berkata setiap pasukan perlu mewujudkan semangat kekeluargaan sesama pemain bagi mewujudkan persefahaman lebih mantap.
"Kadang-kadang pemain tertekan. Contohnya, jika seorang pemain sudah berkawan lama dengan rakan sepasukan dan rakan itu buat kesilapan, ia boleh terima.
"Sebaliknya jika pemain lain (baru) yang buat kesilapan, kesilapan itu susah untuk diterima. Ia situasi berbeza dihadapi dari aspek psikologi sendiri.
"Ini (semangat kekeluargaan) yang perlu kita kita pupuk dan perlukan masa," kata Ketua Pegawai Eksekutif LBR itu.
Di samping itu Azman berkata, beliau yakin K Devan ( gambar ) tidak akan berdiam diri dan sudah berpuas hati dengan situasi yang berlaku.
"Dia perlu bekerja keras untuk meningkatkan prestasi pasukan, jadi kita kena bagi dia peluang.
"Pengurusan pasukan perlu berbincang, panggil beberapa pemain senior, kakitangan teknikal dan berbincang apa yang perlu dilakukan. Ia lebih berkesan daripada kita sekadar mempertikai pemain, jurulatih atau taktikal," ujarnya.

