Pernah cuba disabotaj dan ditertawakan tidak menghalang Tengku Mahkota Johor (TJM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membawa pembangunan kepada sukan bola sepak di Johor.

Menceritakan pengalaman beliau, Tunku Ismail melontarkan nasihat kepada pihak yang didakwa cuba mensabotaj beliau supaya 'memiliki hati yang bersih'.

Menurut beliau, sekiranya hati tidak bersih, seseorang itu tidak akan senang melihat orang lain maju.

"Maka kita tidak akan mencapai apa-apa dalam hidup," katanya dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers , malam tadi.

Tunku Ismail berkata, untuk mencapai kejayaan seseorang itu perlu berkerja keras dan bukan mengharapkan kegagalan orang lain atau cuba mengheret orang lain untuk gagal.

"Sewaktu saya baru mengambil alih tampuk bola sepak Johor dan menyatakan hasrat dan visi, ramai yang mentertawakan saya dan ada sesetengah yang cuba mensabotaj.

"Baru sekarang saya faham dengan perbuatan mereka kerana apabila saya pandang ke belakang, mereka tidak berupaya untuk menyaingi saya," katanya yang juga pemilik pasukan bola sepak JDT.

Tunku Ismail kini menjadi tulang belakang utama dalam menggerakkan pembangunan sukan bola sepak di Johor, malah berjaya membawa JDT menjuarai Liga Super dan Piala AFC 2015.