Apabila nama Leicester City dijadikan bahan perbualan, biasanya orang akan mengingat tiga nama untuk kelab yang mengejutkan ramai orang untuk musim 2015/2016 ini, iaitu Claudio Ranieri, Jamie Vardy dan Riyad Mahrez.

Ranieri ( gambar ) adalah pengurus kelab berkenaan manakala dua lagi pemain yang paling menonjol untuk skuad membawa gelaran The Foxes itu.

Tapi tahukah anda tentang kewujudan seorang wanita Muslim dari Asia Muslim yang sebenarnya menjadi tunjang kekuatan untuk pelatih muda The Foxes selain tiga nama di atas?

Dia ialah Annie Zaidi wanita yang dilahirkan dengan darah Pakistan kira-kira 31 tahun lalu.

Memang wanita yang berperanan penting dalam EPL bukan asing.

Kita mungkin tahu Norwich City dimiliki oleh seorang tukang masak bernama Delia Smith, Chelsea pula berkembang pesat dengan sumbangan Marina Granovskaia, selain dan bekas doktor mereka Eva Carneiro.

Linda Pizutti Henry pula adalah orang yang berpengaruh juga di Liverpool sebagai isteri pemilik The Kop, John W Henry.

Namun kesemua nama itu saya kira kalah besar kepada Annie.

Dia memenangi tiga anugerah setakat ini iaitu Asian Women of Achievement (pada Mei 2015), Anugerah Helen Rollason For Inspiration (November 2015) dan terbaru, Anugerah Khas Neville Hamilton pada Januari lalu.

Namun sebelum berjaya sebagai wanita Muslim pertama menjadi jurulatih professional di United Kingdom, Annie menempuh perjalanan cukup getir dan berliku.

Tiada ramai kawan

Membesar dengan didikan tradisional masyarakat Pakistan di Ipswich bersama ibu, bapa serta tiga abang dan adik perempuannya, mereka kemudian berpindah di Nuneaton (pekan kecil berhampiran Birmingham).

'Cinta' Annie pada bola sepak bermula sejak kecil lagi. Ketika masa lapang dia sering bermain bola sepak di halaman rumah bersama abangnya.

Annie adalah penyokong seumur hidup Arsenal dan amat meminati dua legenda The Gunners, Thierry Henry dan Dennis Bergkamp.

Ketika usianya 12 tahun (1996), Annie mengidap penyakit radang kulit (eczema) sangat teruk dan terpaksa berulang kali menjalani rawatan di hospital.

Akibat penyakit itu Annie tidak mempunyai kawan. Justeru kawan terbaik Annie adalah bola.

Saya sentiasa gadis yang dibelenggu masalah kulit. Oleh sebab itu saya tiada kawan dan ia amat menyedihkan. Kemudian bola sepak menjadi kawan baik saya,” kata bekas pelajar kesusasteraan Inggeris dalam wawancara bersama Leicester Mercury.

Keluarga Annie adalah penganut Islam yang taat, tapi itu tidak membutakan mereka untuk menghalang minat si anak terhadap bola sepak.

Justeru seluruh anggota keluarganya memberi dukungan penuh kepada Annie - dengan syarat dia kekal taat dengan ajaran Islam.

Namun ruang yang diperoleh daripada keluarga tidak begitu membantu ketika mereka hidup di England walaupun penduduk keturunan Pakistan adalah kumpulan imigran terbesar di situ.

Biasa dengan panggilan Paki

Amat susah untuk seorang wanita bekerja di bidang yang didominasi lelaki. Statusnya sebagai wanita Muslim yang mempertahankan norma agama hanya membawa cabaran lebih besar.

Lebih parah lagi, maraknya kelompok pelampau kanan, rasis dan Islamophobia bernama Liga Pertahanan Inggeris (EDL) di England.

Kini ramai samseng menggunakan wadah EDL untuk menunjukkan sifat liar dan menghalalkan segala bentuk kekerasan mereka.

Dengan adanya kelompak pelampau kanan dan jumlah samseng yang ramai, ia memang menyulitkan Annie untuk menikmati “dunia” yang dicintainya.

Kemudian ada pula Parti Kebangsaan British (BNP), sebuah pertubuhan membawa ideologi ketuanan British (atau mungkin boleh dikatakan sebagai Umno versi England).

Pada suatu ketika Annie pernah terfikir untuk mengalah, namun perasaan itu yang akhirnya dikalahkan minatnya yang mendalam kepada bola sepak.

Kadang-kadang mereka akan berkata kepada saya: Kamu sepatutnya berada di rumah menyiapkan makan malam. Atau memanggil saya dengan panggilan Paki ,” kata Annie.

Paki adalah ejekan berbentuk penghinaan terhadap masyarakat Pakistan di England dan United Kingdom.

Ada juga yang meminta saya menunjukkan pengenalan diri, kononnya untuk memeriksa betul atau tidak saya ini seorang jurulatih.

Itu sedikit kurang ajar, tapi saya hanya mendiamkan diri dan tetap teruskan bekerja,” ujarnya.

[Bersambung]


ALIFF FIKRI peminat bola sepak yang pernah di waktu kecilnya menganggap dia sebagai jelmaan Steve McManaman. Beliau kadang kala boleh ditemui di warung makanan Siam di sekitar ibu kota.