Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) akan menjadi wadah mencungkil dan 'membekal' pemain baru untuk diketengahkan dalam arena bola sepak profesional negara.

Pengerusi Liga Bola Sepak Rakyat Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman menyuarakan keyakinan itu sambil berazam memikul amanah melahirkan bakat muda di peringkat akar umbi.

"Tujuan utama LBR adalah mencungkil bakat-bakat baru di peringkat daerah. Kami yakin dengan penganjuran liga ini dapat melahirkan lebih ramai bintang bola sepak negara.

"Melalui LBR, pemain yang mempunyai bakat dan kebolehan akan diserap ke pasukan-pasukan di Liga Malaysia sekali gus menjadi seorang pemain profesional," katanya pada sidang media LBR di Kelana Jaya, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Pengerusi LBR Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Mula nampak kejayaan

Menurut Shamsul, LBR yang berlangsung sejak Ogos tahun lalu akan berakhir melalui perlawanan akhir dijadual pada 7 Mei ini.

"Empat pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir yang dijalankan secara format kalah mati," katanya.

Sebanyak 16 pasukan dari lapan zon utama iaitu Utara I yang terdiri dari Perlis dan Kedah; Utara II (Pulau Pinang dan Perak), Tengah I (Kuala Lumpur dan Selangor), Tengah II (Negeri Sembilan dan Pahang), Selatan (Melaka dan Johor), Timur (Kelantan dan Terengganu) serta Sabah dan Sarawak menyertai kejohanan itu.

Juara LBR bakal membawa pulang hadiah RM100,000, manakala naib juara RM75,000, sementara pasukan yang tewas di separuh akhir menerima RM25,000.

Terdahulu, LBR Sdn Bhd diberi tanggungjawab oleh FAM untuk mengelola kejohanan tersebut bagi tempoh 10 tahun bergantung kepada prestasi yang ditetapkan.

Sementara itu, Hamidin berkata, kejohanan LBR yang baru diadakan musim pertama mula memperlihatkan kejayaan khususnya mengcungkil bakat baru di peringkat daerah.

"Saya difahamkan terdapat beberapa pemain yang beraksi dalam saingan LBR telah berjaya mendapatkan tempat beraksi dalam pasukan Liga Perdana dan FAM.

"Kejayaan ini membuktikan walaupun LBR baru dijalankan ia telah menampakkan hasil yang begitu ketara.

"FAM bersedia menawarkan kepada dua pasukan yang beraksi dipentas akhir LBR yang dijangka diadakan awal Mei nanti untuk beraksi dalam saingan Liga FAM," katanya.

Lihat Komen
ADS