Tengku Abdullah di FAM: Mahu fikir dulu
Selepas bertemu dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM hari ini Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sudah membuat keputusan mengenai masa depannya bersama badan induk bola sepak negara.
Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin Tengku Abdullah serta ahli jawatankuasa badan itu mengadakan perbincangan dari hati ke hati.
"Keputusan yang dicapai tadi ialah Tengku Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM atas keputusan tersebut (menolak peletakan jawatannya) dan memahami segala penjelasan yang disampaikan oleh saya pada hari ini.
“Justeru, Tengku Abdullah akhirnya telah membuat keputusan untuk memikirkan dan mempertimbangkannya, sebelum memaklumkan semula kepada saya dalam masa terdekat ini mengenai apa keputusan akhir yang bakal dibuat olehnya nanti," katanya dalam kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.
Kenyataan itu turut dimuat naik di laman sesawang FAM.
Pada September tahun lalu Tengku Abdullah mengumumkan hasratnya melepaskan jawatan sebagai presiden yang disandang sejak 2014.
Bagaimanapun keputusan berkenaan ditolak AJK Ekesekutif FAM yang bermesyuarat pada 1 Mac lalu.
Mereka juga bersetuju untuk bertemu Tengku Abdullah bagi menyampaikan keputusan berkenaan.
Hamidin berkata, Tengku Abdullah akan mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya bersama FAM.
"Beliau memohon sedikit masa untuk mempertimbangkannya sebelum memaklumkan kepada umum apabila tiba masanya nanti,” katanya.

