Bakal menentang Kedah sekali lagi selepas mereka tewas tipis 1-2 dalam saingan Liga Super Selasa lalu, anak buah K Devan perlu membuktikan Kelantan masih memiliki 'magis' yang tersendiri.

Dengan status sebagai naib juara Piala FA musim lalu - dan musim ini dengan pelbagai pembaharuan - skuad Pamoga Qu Puteh itu perlu segera mengembalikan keyakinan peminat terhadap mereka.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) Mahizi Mahmood ( kiri ) berkata beliau percaya - dan berharap - gergasi dari pantai timur itu mampu membuat kejutan dalam saingan Piala FA kali ini.

"Walaupun mengalami kekalahan kepada Kedah tempoh hari, malam ini kita bertemu lawan yang sama sekali lagi, saya percaya Kelantan akan melakukan satu magis dan mampu bangkit.

"Inilah masa terbaik bagi pemain dan jurulatih membuktikan kepada penyokong bahawa mereka masih di landasan yang betul," katanya kepada Malaysiakini .

Semua pemain import mungkin turun

Menurut Mahizi, keyakinan di kalangan penyokong kini terhakis sedikit demi sedikit susulan prestasi semasa Kelantan yang hambar.

"Seharusnya tekanan begini dipandang positif oleh pemain dan jurulatih supaya mereka berazam melakukan yang lebih baik dari sebelumnya.

"Kelantan wajib bangkit memenangi perlawanan dalam misi mengejar sekurang-kurangnya satu piala dan lupakan kekalahan lalu," katanya.

Tambah beliau, tidak mustahil Kelantan mencipta sejarah kerana saingan Piala FA selalunya penuh dengan kejutan.

"Pemain mesti memanfaatkan setiap peluang yang terhidang dan perlawanan menentang Kedah ini boleh dijadikan titik permulaan supaya penyokong kembali ke stadium‎," jelas beliau.

Sementara itu, Devan dilaporkan berkata, skuadnya akan turun dengan strategi baru bagi memastikan mereka dapat mengatasi perlawanan menggunakan format kalah mati itu.

"Pertemuan ini adalah berbeza kerana ia aksi kalah mati dan kami perlu turun dengan strategi baru bagi memastikan kami boleh mara ke peringkat seterusnya.

"Saya telah mengkaji corak permainan Kedah dan kemungkinan besar saya akan menurunkan semua pemain import," katanya.

Selain itu turut beraksi malam ini perlawanan antara JDT ditentang NS Matrix di Larkin, Johor dan PDRM bertemu Selangor di Stadium Hang Jebat, Melaka.