Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Annie memulakan kerjaya sebagai jurulatih ketika menjalani latihan praktikal selama tiga bulan sebagai sebahagian daripada proses pegajian peringkat sarjana di universiti di Coventry.

Ketika itu dia ditempatkan di Newcastle yang menjadi satu daripada kubu kuat penyokong Parti Kebangsaan British (BNP) yang berhaluan nasionalis.

Walaupun begitu Annie memberanikan diri menjadi jurulatih pasukan remaja (16 tahun hingga 24 tahun) selama 12 minggu. Nasibnya kurang baik apabila pemain tidak menerima kehadirannya di peringkat awal, malah dia diserang dengan makian dan kata-kata kesat.

“Lelaki tidak suka diajar tentang bola sepak oleh wanita, tidak kira apa bangsa sekalipun. Kedudukan saya sebagai wanita Asia dan bertudung hanya menjadikan masalah itu semakin buruk.

“Pada minggu kelima, beberapa muka baru menyertai pasukan. Mereka menyerang saya dengan kata-kata penghinaan dan perkauman. Nasib baik sebahagian daripada pemain masih memberikan sokongan kepada saya.

“Ketika itu saya sedar bahawa bola sepak bukan sekadar sukan, tapi adalah alat untuk meruntuhkan tembok prasangka," katanya.

Akhirnya pada minggu ke-12, dia menjadi "Coach Annie" - impian yang selama ini terpendam dalam hatinya.

"Pemain mula memanggil saya Coach Annie dengan Geordie (panggilan untuk penduduk di kawasan Tyneside) yang indah,” kenang Annie.

Setelah meninggalkan Newcastle untuk kembali ke Coventry, Annie menyelesaikan pengajian dan mula menjalani kursus kejurulatihan.

Pada 2008, dia mendapat lesen jurulatih tahap pertama dan memulakan khidmat untuk pasukan yang bersaing dalam liga tempatan Coventry. Daripada lebih 400 jurulatih serta pengurus yang ada dalam liga berkenaan, Annie menjadi satu-satunya wanita di situ.

Selama tiga tahun di Coventry Sunday League, pelbagai penghinaan berbentuk rasis dan seksis diterimanya.

Selepas itu, nasib Annie mula berubah setelah bertemu pengasas bersama Persatuan Jurulatih Kulit Hitam dan Asia, (BACA) Wallace Hermitt.

“Dia melihat potensi saya ketika orang tidak melihatnya.

“Ramai yang berkata bahawa impian saya akan tinggal impian kerana imej saya, tetapi Wallace melihat potensi saya.

"Kata Wallace, apabila saya bercakap tentang bola sepak, mata saya bersinar,” kata Annie.

Melalui bantuan Wallace, Annie beroleh kesempatan menjadi jurulatih sebuah pasukan projek komuniti di Brixton.

Di sana, Annie tidak lagi dinilai dari sudut agama dan rupa parasnya, tapi dikenali sebagai seorang jurulatih berwibawa.

Selepas 18 bulan di Brixton, pada Oktober 2014 Annie mendapat tawaran dari Leicester City.

Di Leicester, Annie mendapat kebahagian baru. Dia sangat gembira walaupun hanya melatih pasukan wanita bawah 11 tahun The Foxes.

Kini di usia 32 tahun, Annie merupakan ketua jurulatih pasukan wanita Leicester City, manakala pada hari minggu pula, dia melatih pasukan lelaki bawah 21 tahun kelab Queen Park Rangers (QPR).

Melalui sokongan Pengarah QPR Les Ferdinand dan bekas pengurus Chris Ramsey, Annie sedang berusaha mendapatkan lesen kejurulatihan UEFA B.

“Saya adalah jurulatih perempuan Muslim pertama di negara ini. Agama merupakan perkara pertama dan paling utama, tapi bola sepak adalah 'agama' kedua saya.

“Saya seorang wanita dan saya boleh melatih pasukan lelaki. Impian saya adalah untuk menjadi jurulatih Arsenal. Kenapa tidak?” kata Annie.

Pada 6 Mac nanti, Annie akan menghadiri Persidangan Bola Sepak dan Kepimpinan Wanita Fifa sebagai panelis.

Perkembangan terkini tentang wanita besi ini boleh dicapai di laman Twitter milik peribadi beliau @CoachAnnieZ

Bahagian 1: Annie si muslimah 'wira' Leicester City

https://www.malaysiakini.com/sukan/332530

Lihat Komen
ADS