Piala FA: Dua pasukan gergasi tersingkir
Perlawanan pusingan ketiga Piala FA menyaksikan lima lagi pasukan mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir, malam ini.
Antara keputusan luar jangkaan membabitkan pasukan Liga Super iaitu Pahang ditewaskan Sime Darby FC 1-0 pada aksi di Stadium Darul Makmur.
Prestasi merosot skuad Tok Gajah itu sekali gus menyaksikan kekalahan kali keempat mereka sepanjang musim ini termasuk tiga kekalahan di Liga Super.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka pula pasukan PKNS FC berjaya meraih tempat ke saingan suku akhir selepas menumpaskan Felda United dengan jaringan 3-2.
Selain itu satu lagi wakil pasukan dari utara tanah air iaitu Perlis turut tersingkir dalam saingan Piala FA apabila tewas 2-0 kepada Kuala Lumpur di gelanggang sendiri.
Dua lagi keputusan menyaksikan Perak mengatasi Kuantan 1-0 dan Sabah menundukkan ATM 2-1.
Keputusan itu melengkapkan senarai lapan pasukan yang akan bersaing di peringkat suku akhir, manakala proses undian untuk aksi tersebut bakal berlangsung, esok.
Pada aksi semalam, JDT, Kedah dan PDRM terlebih dahulu melayakkan diri ke suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing.

